Fieya Julia Duet lagu hip hop




JARANG penyanyi baharu bernasib baik untuk terus mengekalkan populariti pada lagu seterusnya.

Namun, penyanyi Fieya Julia, 21, dilihat agak bertuah.

Selepas popular dengan lagu Perasaanku, Fieya muncul mempertaruhkan lagu Seperti Ini dan ternyata pilihannya tepat kerana karya itu disukai peminat serta mesra radio.

Terbaharu, Fieya tampil pula dengan lagu berjudul Penantian yang mendapat suntikan kelainan dan genre muziknya lebih segar.

Gadis kelahiran Sarawak ini seorang yang suka dan berani mencuba perkara baharu dan gemar meneroka untuk mencari pembaharuan positif.

"Saya tidak mahu terikat dengan satu genre muzik sahaja seperti balada. Biarpun tahu lagu solo saya menjurus pada muzik balada, tapi kelainan baharu penting.

"Umpamanya menyanyi duet. Saya ada keinginan itu dan menunggu peluang bekerjasama dengan penyanyi lain. Namun, bergantung pada rezeki juga," katanya.

Fieya atau nama sebenarnya Nur Syafiyah Sejali berkata, dia sentiasa berusaha cuba memajukan kerjaya nyanyiannya.

"Berjaya atau tidak, kena yakin pada ketentuan Allah. Paling utama, saya gembira kerana sekurang-kurangnya sudah mencuba. Kejayaan tidak diperoleh dengan sekali usaha sahaja.

"Cuba lihat ahli perniagaan berjaya, rata-ratanya pernah mengalami kegagalan beberapa kali atau lebih sebelum menempa kejayaan. Jadi, saya perlu mengambil semangat itu," katanya.

Selain itu, Fieya juga tidak menyembunyikan impiannya untuk menyanyi lagu hip hop dan bekerjasama dengan penyanyi rap tempatan.

"Saya berminat dengan lagu hip hop. Apatah lagi, ketika di Sarawak dulu saya pernah berduet dengan 'rapper' yang juga rakan baik saya.

"'Kami selalu menyanyi bersama. Jadi, saya sangat berharap dapat peluang menyanyi lagu hip hop dan berduet dengan 'rapper' pula," katanya.

Menurut Fieya, dia juga tak kisah jika berganding dengan 'rapper' baharu.

Katanya, penyanyi rap lama atau baharu tidak jadi masalah asalkan masing- masing selesa.

"Untuk menyanyi secara berpasangan, bagi saya perlu ada keserasian terutama daripada sudut vokal. Macam gandingan Hafiz Suip dan Adira, nyanyian mereka padu.

"Begitu juga duet Ariff Bahran dan Sarah Suhairi, gabungan vokal mereka mantap. Justeru, untuk saya perlu pastikan dapat rakan duet sesuai dan vokal kami pun serasi," katanya.

Menurut Fieya, jika dia ada peluang berduet, lagu yang ingin dirakam mengisahkan percintaan kerana karya sebegini begitu dekat dengan jiwa dan orang pun suka dengar.

Previous Post Next Post