Juvana 2: 'Kebebasan itu ada harganya'


Antara babak dalam filem Juvana 2.

SELEPAS kejayaan filem Juvana yang ditayangkan tahun lalu, kini mereka kembali mengganas di pawagam tidak lama lagi.

Selepas menjalani penggambaran hari terakhir pada 5 Jun lalu, Juvana 2 dilihat tampil dengan pelakon-pelakon baru dan lebih meriah berbanding dahulu.

Mengekalkan barisan pelakon seperti Johan Ashaari, Zahiril Adzim, Adam Shah, Syazwan Zulkifli dan juga Shera Ayub.

Manakala penampilan istimewa seperti Pekin Ibrahim, Hasnol Rahmat, Nad Zainal, Puteri Chici, Ainul Hasna, Intan Farana dan Farhana Kissmina.

Pengarahnya, Faisal Ishak berkata filem sekuel tersebut merupakan kesinambungan daripada filem pertama selepas mereka keluar daripada Sekolah Wira Bakti.

Menurutnya, walaupun mereka dibebaskan daripada sekolah tersebut namun kebebasan itu nilainya sangat tinggi.

"Biarpun berjaya meninggalkan tempat tersebut namun mereka berhadapan dengan perkara lain di luar sana.

"Ia bukan setakat bebas dari segi kehidupan tetapi mental dan fizikal belum tentu bebas," ujarnya yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur selama 33 hari.

Tambah Faizal, pihak produksi turut membina set khas untuk tempat tawanan atau pertahanan di Mardi Serdang bagi filem kedua ini.

"Dari segi teknikal, Juvana 2 lebih bersedia berbanding filem sebelum ini kerana penggambaran berlangsung dalam tempoh 17 hari dengan kos pembikinan lebih rendah.

"Keistimewaan filem kali ini, ia memberi penghormatan kepada drama bersiri Juvana yang mana setiap terdapat babak kecil dikembalikan semula," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Juvana 2 dan Juvana 3, di Jalan Doraisamy, baru-baru ini.






Beri pengaruh negatif?

Mengangkat 'kisah samseng' sebagai isu utama, maka tidak hairanlah filem ini pernah dikecam hebat sehingga dikaitkan dengan peningkatan kes buli dan gengsterism di kalangan pelajar sekolah.

Sementelah ada kes buli yang dirakam turut menggunakan dialog popular filem tersebut; “Nama aku Lan. Panggil Aku Lan Todak,” - ungkapan pelakon Sharnaaz Ahmad yang memegang watak kaki buli.

Enggan perkara itu berulang lagi, Faisal berharap sekuel Juvana tidak terus dipersalahkan. Tegas Faisal, sepatutnya perkara yang dipaparkan dalam filem itu sebagai pengajaran dan iktibar bukannya sebagai ikutan terutamanya golongan remaja.

"Jika Juvana 2 dipersalahkan sekali lagi di atas apa yang berlaku, saya amat kecewa dengan situasi yang menimpa filem ini.

"Seperti yang kita tahu, kes buli sudah berlanjutan sejak sekian lama dan tiada kaitan dengan filem Juvana.

"Saya berharap penonton Juvana 2 dapat menggunakan akal fikiran sebelum melakukan sesuatu yang mungkin beri kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain," ujarnya.

Dalam masa yang sama, dia menggalakkan ibu bapa hadir sama untuk menonton filem bagi mengetahui situasi sebenar yang ditonjolkan bukannya terus mempersalahkan pihak produksi.

"Apa yang saya paparkan berbeza dengan apa yang mereka fikir kerana keganasan merupakan jalan terakhir untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

"Jangan mudah melatah sebaliknya menonton sebelum menuduh sembarangan," katanya.


Sharnaaz digugurkan?

Sementara itu, ditanya mengenai watak Sharnaaz, Faisal berkata watak tersebut hanyalah direhatkan buat sementara.

Katanya, watak tersebut bukannya digugurkan dan kemungkinan besar ia akan muncul dalam Juvana 3.

"Saya bukan mahu berteka-teki tetapi tunggu sahaja filem Juvana 2 dan 3 nanti.

"Kali ini, watak To Ki muncul bagi menggantikan Lan Todak, To Ki merupakan sahabat baik kepada Sharnaaz," ujarnya.

Sambungnya, latar belakang cerita kali ini lebih banyak tertumpu di luar sekolah berbanding filem terdahulu yang banyak berkisar kehidupan mereka di Sekolah Wira Bakti.

"Watak-watak lama dikembalikan semula dalam situasi mereka lebih dewasa berbanding sebelum ini.

"Kisah mereka pula lebih tertumpu kepada kehidupan mereka selepas keluar daripada sekolah pemulihan akhlak itu," katanya yang menampilkan 40 peratus aksi dalam filem tersebut.
Previous Post Next Post