Mamat Exist sedia dikritik #GegarVaganza



BEKAS vokalis kumpulan Exist, Mamat menyifatkan penyertaannya dalam program realiti, Gegar Vaganza adalah sebagai peluang besar dalam meneruskan karier seninya.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin memberitahu, semua artis era 90-an yang terlibat dalam program realiti berkenaan adalah mereka yang kurang menyerlah dalam industri muzik kini.

"Kita harus ambil peluang ini. Inilah peluangnya untuk kita lebih terus ke depan selepas ini.

"Lebih-lebih lagi dengan adanya penilaian dari juri profesional, pasti banyak pendedahan yang kita akan dapat sekali gus mempelajari dan memperbetulkannya," katanya kepada Zass.




Bakal menyanyikan lagu-lagu lama dan baharu, pelantun lagu Rahsia Di Pohon Cemara ini menyifatkan ia sebagai sesuatu yang sangat mencabar.

"Selain lagu sendiri, saya juga ada menyanyikan lagu-lagu lain daripada penyanyi lain.

"Sebelum memilih lagu untuk dinyanyikan, saya akan membuat perbincangan agar ia semuanya berjalan lancar.

"Apa yang pasti, saya perlu mengekalkan mutu nyanyian dalam setiap persembahan selain memperbaiki cara penyampaian saya agar terus bertahan dalam program realiti ini," katanya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Untukmu Ibu ini juga sedia menghadapi kritikan-kritikan pedas dari barisan juri yang dilantik.

"Sudah pasti setiap minggu ada komen-komen ‘panas’ yang saya terima daripada juri profesional.

"Apa yang saya boleh katakan, saya cuma tawakal dan cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Gegar Vaganza bersiaran mulai 16 November lalu, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Selain Mamat, antara penyanyi lain yang turut terlibat termasuklah Shima, Rahmat (Mega), Hasnol, Fazli Zainal, Sam (Innuendo), Ayai (Ilusi), Haleeda, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.

Dalam perkembangan lain, Mamat baru saja melancarkan single terbaharunya, Keluhan Cinta berduet dengan penyanyi baharu, Ikka Razman.

Jelas Mamat, dia telah ditawarkan oleh Sweet Entertainment Production (IRSEP) untuk merakamkan lagu itu dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh syarikat berkenaan.

"Mungkin ada bertanya kenapa single lagu pertama saya bermula dengan lagu duet. Saya anggap ia satu rezeki apabila ada yang memberi kepercayaan untuk saya menyanyikan lagu tersebut.

"Keluhan Cinta diciptakan oleh Mie Kuarters dan Man Ikhman dan lagu itu sangat bagus, sayang jika tidak mengambil peluang itu.

"Kini, lagu tersebut sudah dihantar ke semua stesen radio untuk dikeudarakan," katanya.


Previous Post Next Post