Remy Ishak akui hati kini terisi



LUMRAH buat anak seni, perjalanan yang dilalui tidaklah semudah yang dibayangkan. Bukan hanya berdepan dengan persaingan karier, malah anasir-anasir luar yang mengundang tanggapan negatif masyarakat sehingga menjejaskan nama baik juga menjadi cabaran hebat buat mereka.

Tidak ada angin dan tidak ada ribut, nama aktor kacak Remy Ishak sekali lagi dikaitkan dengan kontroversi di mana dia didakwa membawa balik kekasih ke rumah bujangnya.

Menjawab persoalan dengan tenang, Remy menganggap khabar angin itu sebagai cerita basi daripada pihak yang tidak senang dengan kehidupannya.

“Cerita ini sebenarnya daripada dahulu lagi sudah disebarkan dan ia tidak akan berhenti. Saya dapat rasakan, orang yang sama mereka cerita ini.

“Saya sendiri tidak tahu apa puncanya mungkin dia cemburu atau saya pernah melukai hatinya tanpa saya sedari.

“Saya manusia sama juga seperti dia, jadi saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini dengan langkah seterusnya, cukuplah saya sudah menegur dan menyuruhnya insaf daripada memfitnah saya,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Santai Lebaran Fiesta 2015, di Istana Budaya, baru-baru ini.


Pada awalnya, Remy hanya mengakui dirinya sedang mengenali hati budi seseorang dan merahsiakan identiti wanita tersebut.

Namun pelakon itu akhirnya terpaksa mengesahkan hubungan istimewanya bersama wanita yang dikenali sebagai Roszaliza Yusof yang juga merupakan Pengarah Urusan jenama fesyen Roistz Labels, setelah pihak media menyedari kehadirannya dalam majlis tersebut.

“Kami sudah berkawan rapat sejak setahun lalu dan sekarang kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Hubungan ini terlalu awal untuk saya dedahkan yang selebihnya,” katanya.

Berkongsi kasih sayang

Enggan terus dikaitkan dengan cerita kurang enak, Remy membuat pendedahan dirinya kini menjalani kehidupan bersama dua orang anak angkat iaitu Dania, 4 dan Damia, 3.

“Sebenarnya Damia dan Dania telah berada dalam penjagaan saya sejak dua tahun lalu.

“Saya buat keputusan untuk jaga mereka bukan sebab terlalu ingin jadi seorang bapa tapi kerana saya memang sukakan budak-budak tambahan pula saya diberitahu mereka berdua kurang mendapat kasih sayang.

“Saya jaga kebajikan, makan, pakaian dan persekolahan mereka. Saya berkongsi rezeki yang saya ada bersama mereka dan kalau ada masa, saya akan mengajar mereka.

“Tapi kalau saya sibuk dengan lakonan, saya akan bergilir-gilir dengan teman wanita saya untuk menjaganya,” katanya yang menggelarkan diri sebagai ‘Cikgu Daud’ kepada dua orang kanak-kanak tersebut.

Pendedahan ini juga menafikan khabar angin yang mendakwa teman wanitanya itu adalah berstatus ibu tunggal.

“Mungkin selama ini orang salah faham mengenai perkara ini. Saya seorang yang tidak suka berkongsi perkara yang tidak patut lagi-lagi ia mengenai kebaikan yang saya buat.

“Tapi tidak sangka pula ia menjadi cerita lain. Kadang-kadang saya pelik juga macam-macam gosip termasuk mengatakan saya kaki perempuan. Mereka tidak tahu apa-apa tapi masih bercakap tapi saya tidak boleh puaskan hati semua orang,” ujarnya.

Anjur fiesta Ramadan

Beralih pada perkembangan terbaharu, Remy bakal menganjurkan Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya bermula 25 Jun sehingga 16 Julai ini.

Fiesta berkonsep bazar ini membuka peluang kepada golongan artis dan peniaga Melayu untuk membuka gerai mengetengahkan produk masing-masing.

“Idea ini mula tercetus apabila Erma Fatima berkongsi pengalamannya menjayakan ‘car booth sale’ tahun lalu di Istana Budaya dan mengajak saya untuk turut serta.

“Pada masa yang sama, saya juga berniat untuk membuat kebajikan untuk disalurkan kepada yang memerlukan dan dari situ idea untuk laksanakan fiesta ini tercetus.

“Setakat ini sudah ada 60 peniaga luar yang turut serta dan saya masih mengalukan lebih ramai peniaga,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Remy memberitahu seramai 10 selebriti turut terlibat untuk berniaga antaranya Nad Zainal dan Sherry Alhadad.

Bagi peniaga luar yang berminat boleh hubungi penganjur menerusi e-mel santailebaran@gmail.com atau layari hashtag rasmi #SantaiLebaran2015.

Previous Post Next Post