Mahu Tumpukan Keluarga, Marlia Musa Enggan Berlakon


Marlia Musa tidak berhasrat untuk kembali berlakon kerana lebih selesa memberikan tumpuan kepada keluarga dan suami, Datuk M. Nasir.

Pelakon yang pernah popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Datin Marlia Musa tidak terfikir untuk kembali berlakon walaupun masih ada tawaran diberikan kepadanya.

Marlia, 46, berkata, dia kini lebih selesa bergelar suri rumah sepenuh masa dan memberi tumpuan kepada keperluan anak-anak dan suaminya, penyanyi terkenal Datuk M. Nasir.

"Masuk tahun ini sudah 19 tahun saya tidak aktif sebagai pelakon dan keputusan itu bukan paksaan sesiapa tetapi kehendak sendiri.

"Bukan tidak rindu tetapi sebelum ini saya sibuk dengan tugas sebagai pensyarah dan selepas berhenti mengajar pada 2013 saya jadi suri rumah sepenuh masa dan selesa dengan tugas baru saya sekarang," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Marlia mengakui pada awalnya dia berasa kekok selepas meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kerana mengajar adalah jiwanya.

Bagaimanapun, dia kini melihat ia adalah keputusan tepat dilakukan kerana menyedari banyak perkara yang dia terlepas dan kini lebih menikmati kehidupan bersama keluarga.



Marlia dan suaminya, Datuk M. Nasir.

"Mula-mula kekok juga kerana sudah terbiasa bekerja tetapi lama-kelamaan saya semakin seronok kerana banyak perkara lain yang boleh saya lakukan terutama memberi lebih perhatian kepada anak-anak dan suami.

"Saya pun sudah lama bekerja dan sekarang adalah masa untuk berehat dan menikmati kehidupan," ujarnya.

Sementara itu, Marlia berkata, biarpun sudah tidak berlakon dia sebenarnya masih aktif di belakang tabir dengan lebih banyak melakukan iklan radio dan televisyen.

Malah dia juga banyak terlibat dalam bengkel-bengkel berkaitan industri kreatif sekiranya dia berkelapangan.

"Ada juga rakan-rakan rapat panggil berlakon tetapi kadang-kadang masa tidak sesuai kerana keluarga adalah keutamaan saya. Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan kembali berlakon," ujarnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »