Mira Filzah dilamar Adi Putra


BERMULA sebagai model sambilan, Mira Filzah kini sayap sebagai pelakon dan kini bergelar duta umrah Hadid Travel & Tours milik pelakon, Adi Putra.

TIDAK keterlaluan jika dikatakan carta perjalanan karier wanita bertubuh kecil, Mira Filzah berada pada fasa selesa. Selepas membintangi drama bersiri, Cinta Si Wedding Planner (CSWP) bergandingan dengan pelakon Adi Putra, pemilik nama Nur Amirah Filzah Badioezaman terus melonjak naik.

Bahkan, rezekinya mencurah-curah apabila terpilih untuk memenangi anugerah Artis Baharu MeleTOP dalam Anugerah MeleTOP Era baru-baru ini. Kemenangan wanita berusia 22 tahun itu, sekali gus menewaskan nama-nama hangat yang sedang menyinar seperti Zahira MacWilson, Hafreez Adam, Azrel Ismail dan Syamel AF.

Terbaru, Mira disunting menjadi duta kepada agensi pelancongan milik hero drama CSWP, Adi Putra iaitu Hadid Travel and Tours. Sebagai duta, dia juga akan mengikuti program umrah bersama selebriti dan akan terbang ke Tanah Suci pada awal Ramadan nanti.


ARTISMELETOP!: Tahniah kerana terpilih untuk menjadi duta kepada Hadid Travel and Tours seterusnya bakal mengerjakan umrah pada Ramadan nanti. Boleh ceritakan bagaimana anda boleh dipilih sebagai duta?

MIRA FILZAH: Terima kasih. Sebenarnya, sejak awal lagi saya dan keluarga telah merancang untuk mengerjakan umrah pada Ramadan nanti. Secara kebetulan, tarikh 1 Ramadan jatuh pada hari lahir ibu saya, jadi kami merancang untuk menyambutnya di sana. Perancangan itu dibuat sejak Disember lalu ketika saya sedang menjalani penggambaran drama CSWP. Semasa sibuk mencari agensi yang sesuai, Adi Putra pula menawarkan pakej mengerjakan umrah bersama agensinya. Apabila difikirkan ini merupakan peluang terbaik buat saya, maka saya menerima tawaran tersebut. Insya-Allah saya akan ke sana bersama ibu, ayah serta adik.

Tahniah kerana berjaya memenangi anugerah Artis Baharu MeleTOP. Boleh kongsikan pengalaman anda?

Pada malam anugerah tersebut, saya masuk ke dalam dewan agak lewat sedikit keran hujan turun dengan lebat. Sebaik sahaja masuk, tiba-tiba nama saya dipanggil untuk menerima anugerah tersebut. Saya berasa sangat terkejut sehingga terlupa perkara sepatutnya untuk dicakapkan. Bagaimanapun, saya rasa sangat bersyukur kerana kehadiran saya dalam dunia lakonan kini diterima peminat.

Nama anda mula dikenali sejak membintangi drama CSWP. Bagaimana anda boleh terjun ke bidang lakonan? Adakah kerana memang minat untuk menjadi pelakon atau secara kebetulan?

Sebenarnya, saya masuk ke dalam dunia lakonan secara kebetulan. Ketika itu saya berjumpa dan hanya berborak seperti biasa dengan Haji Zeel yang dikenali melalui seorang rakan. Selepas itu, dia terus mengajak saya ke pejabatnya dan tanpa sebarang uji bakat, Haji Zeel menawarkan satu watak sampingan dalam drama Eksperimen Cinta. Pelakon utama dalam drama tersebut ialah Fahrin Ahmad dan Izreen Azminda. Tidak dinafikan, saya sangat selesa berlakon dengan mereka dan dari situ minat saya terhadap lakonan mula timbul.


MIRA FILZAH kini antara pendatang baharu yang dilihat mempunyai pesona tersendiri biarpun membawa imej wanita berhijab.

Sebagai pelakon baharu, pastinya banyak perkara yang perlu dipelajari. Bagaimana anda berdepan cabaran dan siapakah pelakon yang selalu menjadi rujukan?

Saya banyak belajar untuk berlakon melalui pemerhatian. Antaranya, saya akan menonton semula lakonan daripada pelakon senior dan melihat bagaimana mereka membawakan watak termasuklah cara untuk melafazkan dialog dengan baik. Antara pelakon yang sering menjadi rujukan adalah Lisa Surihani dan Maya Karin. Selain itu, saya juga meminati filem Hindustan dan antara pelakon kegemaran saya termasuklah Kajol dan Priyanka Chopra.

Ada rasa gementar apabila digandingkan dengan pelakon senior seperti Adi Putra?

Pada awalnya, ya! Memang sangat gementar. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui akan digandingkan bersama pelakon hebat seperti Adi Putra. Rasa macam tidak percaya dia hendak menerima saya sebagai heroin. Tetapi selepas selalu berjumpa, Adi banyak membantu saya, lama kelamaan perasaan gementar itu semakin hilang.

Bagaimana pula dengan tawaran lakonan selepas ini?

Sekarang saya sedang dalam penggambaran drama sembilan episod bersama Fattah Amin yang bertajuk Ketupat Palas, Mr. Handsome. Drama berkenaan akan ditayangkan menjelang Ramadan nanti. Selepas itu, saya juga akan terlibat dengan drama Meh Sandar Pada Aku, bagaimanapun pelakon utama lelaki masih dirahsiakan. Drama ini pula akan disiarkan menerusi laman web Tonton terlebih dahulu dan kemudian baru ditayangkan di televisyen pada awal tahun hadapan.

Bagaimana pula dengan tawaran lakonan filem, sehingga semuanya tertumpu terhadap drama televisyen sahaja?

Saya memang ada mendapat tawaran filem, tetapi belum diputuskan lagi dan masih dalam proses perbincangan. Mengikut perancangan, filem itu bakal menjalani penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri, tetapi pada masa itu saya sudah menandatangani kontrak drama bersama Astro pula. Bagaimanapun saya akan cuba menyesuaikan tawaran tersebut mengikut kesesuaian jadual dan masa.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »