Masihkah anda ingat anak saudara kepada seniman agung negara, Datuk Sudirman Hj Arshad ini?
Satu ketika dahulunya namanya turut sama naik seiring dengan populariti bapa saudaranya itu.
Kini, Razman Azrai Zainudin, 41, atau Atai telah mengambil keputusan untuk membuat ‘comeback’ dalam bidang nyanyian selepas ini.
Malah, dia sanggup mengambil risiko dengan meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden Pos Malaysia demi mengejar cita-citanya menjadi seorang penyanyi profesional.
Tidak takut dengan percaturan berani itu, kerana menurut Atai dia yakin karier muziknya boleh pergi lebih jauh sekiranya dirinya terus fokus dengan satu-satu bidang yang ingin diceburinya.
“Allahyarham Sudirman percaya bahawa bakat saya boleh pergi jauh, jadi kenapa saya tidak boleh yakin dengan kebolehan diri sendiri?
“Saya pula seorang yang percaya dengan setiap kerja yang dilakukan dan pada masa sama tidak boleh melakukan dua bidang yagn berbeza serentak,” ujarnya yang dipetik mStar.
Sejajar itu, Atai telah mengeluarkan single terbaharunya iaitu Kul it! yang diharapkannya dapat menyambung legasi bakat bapa saudaranya itu.