"Nombor 2" menjadi pilihan Baby Shima sebagai pembuka tahun 2014. Ternyata di sebalik angka ini, ia membawa maksudnya yang tersendiri.
Selepas memperolehi kejayaan dari single pertama “Tak Sabar” yang berjaya menduduki juara carta radio-radio tempatan selama 20 minggu pada tahun lalu, ia menguatkan rasa keyakinan dalam dirinya untuk terus mencoret nama dalam industri muzik tanahair tanpa dihirau akan komen atau pandangan negatif yang pernah dilemparkan.
Hasilnya terbukti apabila dia kini diterima ramai. Dia turut ditawarkan watak utama dalam telemovie 'Ayam Ribut Syawal' yang disiarkan di TV3 pada Syawal lalu, selain diberikan peluang untuk menyanyikan OST drama 'Mawar Putih Tanda Perpisahan' oleh Datuk Rosyam Nor.
Dengan mengekalkan konsep pop futuristik, Baby Shima tampil dengan single kedua berjudul “Nombor 2” hasil ciptaan Edry Abdul Halim. Lagu yang berentak 'catchy' ini dilihat serasi dengan Baby Shima. Single baru ini dirakamkan pada hujung tahun lalu dan mengambil sedikit masa dalam menyiapkan sepenuhnya bagi memastikan kualiti vokal dan muzik yang bermutu.
Jika sebelum ini Baby Shima tak sabar bertemu kekasih, kali ini dia berkongsi mengenai kejujuran dalam sesebuah hubungan.