Selepas Lisa Surihani, Arja Lee dan beberapa lagi pelakon lain, bidang nyanyian turut mendapat perhatian Norish Karman yang katanya ingin kembali ke dalam bidang tersebut. Bukan itu saja, dia merasakan bidang nyanyian mampu memberikan pulangan yang lumayan dan ada kalanya pernah menerima bayaran yang jauh lebih tinggi berbanding bidang lakonan.
Pelakon terkenal Spa Q ini menjelaskan kadang kala dia terpaksa menghabiskan masa yang banyak di set penggambaran tetapi tidak untuk bidang nyanyian yang hanya memerlukan beberapa jam sebelum atau selepas persembahan. Norish turut menambah perkara tersebut diambil kira sebagai suatu perkara yang positif dan kini dia hanya mahu menghabiskan masa bersama keluarga.
Bukan itu saja, selepas ini dia akan lebih memilih tawaran lakonan, bergantung kepada bayaran dan skrip yang diberikan. Mengenai tawaran untuk menyanyi, Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman bersyukur kerana masih ada pihak yang menjemputnya untuk mengadakan persembahan makan malam atau di majlis keraian yang lain. Untuk itu, kini dia lebih yakin dan sentiasa bersedia untuk belajar bagi memastikan dirinya menjadi seorang penyanyi yang versatil kelak.
Norish Karman baru saja selesai menyiapkan single terbaru dan bakal mengadakan promosi dalam masa terdekat. Selain itu, dia juga turut sibuk menguruskan perniagaan katering yang diusahakan sejak dua tahun lalu dan tidak sesekali kali berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan yang telah menaikkan namanya selama ini.
Jom Kita Layan Video Norish Karman - Kasihku Selamanya