Juara Singapore Idol musim ketiga, Sezairi Sezali tampil dengan single berjudul 'Sayang' pada tanggal 6 Ogos 2013. Lagu tersebut diinspirasikan daripada kisah hidupnya yang lalu, ia merangkumi bait yang sedih, namun diberikan sentuhan muzik rancak.
“Lagu ini dicipta berdasarkan hubungan cinta saya yang lalu, namun tidak dapat diungkapkan. Kalau dilihat dengan lebih mendalam, terdapat antara liriknya yang dipengaruhi daripada pengalaman lalu,
Situasi ini sering dialami oleh ramai lelaki dan saya merasakan yang saya sering tidak bernasib baik dalam percintaan. Apabila saya mengintipnya dan saya mendapati si dia keluar dengan lelaki lain, maka ia sedikit sebanyak memberi impak untuk menghasilkan lagu ini,” ujar Sezairi ketika ditemui di Publika, pada Rabu.
Lagu 'Sayang' dicipta sendiri oleh Sezairi ketika sedang menjalani latihan Khidmat Negara di Singapura. Selain menyanyi, dia juga sedang berjinak-jinak serta mengasah bakat dalam menghasilkan lagu serta lirik ciptaan sendiri.
Menurut Sezairi, dia tidak berniat untuk menganggu periuk nasi penyanyi Malaysia apabila mengambil keputusan untuk melebarkan sayapnya di sini. Ini kerana dia hanya ingin memperjuangkan muzik.
“Bagi saya, yang penting hanyalah untuk bermain muzik dan InsyaAllah rakyat Malaysia akan dapat menerima saya dan lagu-lagu saya. Saya memilih Sony Music untuk menguruskan kerjaya seni saya kerana mereka memahami ideologi saya,” ujar Sezairi.
Pelajar lepasan Maktab Seni Lasalle ini mula meminati bidang muzik seawal usia 5 tahun dan lagu pertama yang menjadi kegilaannya sehingga kini adalah 'Isabella'. Bermula sebagai vokalis bagi kumpulan Juxtapose, Sezairi kemudiannya bergerak secara solo.