Suasana kerja dan persekitaran memberi kelebihan buat pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai dalam mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Kata Tai, keyakinannya tentang kehidupan selepas mati menjadi tebal secara tiba-tiba.
“Kuasa Allah meletakkan saya dalam industri seni persembahan di mana industri ini sendiri yang menyedarkan saya tentang hal-hal agama. Kelebihan ruang kerja serta kelebihan sebagai seorang pelakon yang Allah bagi kerana pelakon ni perlu berimiginasi. Suatu hari sewaktu saya berimaginasi, saya terfikirkan tentang benda-benda ghaib,” jelas Tai.
Tidak berhajat mengurangkan aktiviti seni, jelas Tai, dia akan cuba menggunakan medium seni persembahan untuk mengajak masyarakat kearah kebaikan.
“Saya pernah bertanya kepada ulamak sekiranya saya harus berhenti daripada aktiviti seni. Namun, hasil perbincangan tersebut, ulamak mengatakan sekiranya saya meninggalkan aktiviti seni, saya telah meninggalkan orang-orang dalam lingkungan saya. Apabila Allah dah bagi petunjuk kepada seseorang untuk mendekati agama, tiba-tiba orang tu tinggalkan kerabatnya, kesian pada yang lain. Melalui industri seni ini, saya cuba mengajak orang lain kearah kebaikan dan berdakwah,” katanya.
Sesuai dengan penghijrahannya, Tai kini lebih selektif dengan tawaran berlakon yang diberikan kepadanya. Menurut Tai, dia akan lebih berhati-hati sekiranya sesuatu babak tersebut meilbatkan wanita.
“Saya memilih dari segi kandungan, pemakaian dan percakapan dan saya berhati-hati sekiranya babak itu melibatkan wanita. Jika ada babak bersentuhan, saya akan cuba yakinkan pengarah bagaimana membawa babak itu dengan cara yg lain,” kata Tai.
Sementara itu, Tai berkongsi dia kini sibuk menghasilkan beberapa naskhah yang mempunyai elemen Islamik.
“Saya teruja untuk menghasilkan sebuah filem tentang seseorang yang tiada agama dan bagaimana perjalanannya mencari agama sehingga dia bertemu dengan Islam. Aoabila nak buat cerita begini, saya perlu berhati-hati dan saya perlu merujuk pada beberapa tempat seperti Majlis Fatwa, Jakim dan sebagainya. Semoga Allah permudahkan usaha saya ni,” kata Tai mengakhiri bicara.