Cameron tidak percaya nikmat perkahwinan



TEMPOH lebih dua dekad melibatkan diri dalam industri hiburan merupakan satu rangka masa yang membuatkan figura seksi, Cameron Diaz berdiri utuh.

Jika ingin dihitung hasil kerjanya, bintang kelahiran San Diego, California, Amerika Syarikat itu sudah ada senarai panjang yang boleh dibanggakan.

Apa yang pasti, watak Tina Carlyle dalam filem pertamanya, The Mask, pada tahun 1994, menjadi titik tolak untuk dia terus mengorak ke hadapan sehingga kini.

Itu sedikit gambaran cerita perihal kerjaya yang sudah menjadi makanannya sejak lebih dua puluh tahun yang lalu.

Kini, usianya sudah menginjak angka 42 tahun. Sudah pasti soalan yang acap kali diajukan kepada pelakon filem Charlie's Angels itu lebih kepada hal berkaitan status dirinya.




Sungguhpun begitu, Cameron berpandangan, wanita sepatutnya tidak menjadikan perkahwinan sebagai satu tekanan dalam diri masing-masing.

"Ramai orang terkejar-kejar untuk berkahwin kerana mereka berasakan perkahwinan mampu memberi kebahagiaan.

"Namun, perkara itu mungkin berubah selepas mereka mendapat apa yang mereka kejarkan," tuturnya yang kini masih tidak mempunyai teman lelaki setelah berpisah dengan kekasih terakhirnya, penyanyi Justin Timberlake pada 2006.

Ketika ditanya adakah dia semakin sukar untuk mencari teman lelaki atas faktor usianya yang semakin meningkat, katanya: "Entahlah, susah untuk diperkatakan. Ia (perkahwinan) bukanlah perkara yang saya kejar.

Cameron juga mengakui, dia tidak pernah terfikir untuk memiliki keluarga sendiri sewaktu usianya 20 dan 30-an.

Bagaimanapun, pada usia sekarang dia tidak menolak jika ditakdirkan jodohnya sudah tiba.

"Kita nantikan sahajalah," kongsinya yang kini sibuk dalam mempromosikan filem berjudul The Other Women.

Filem itu mengisahkan kehidupan tiga wanita yang ditipu oleh seorang lelaki. Mereka sebenarnya hidup bermadu tanpa disedari.

"Helah lelaki itu kemudian terbongkar apabila ketiga-tiga wanita itu bergabung untuk membalas dendam terhadap si suami itu," katanya yang menjadi teraju utama filem tersebut.

Cameron digandingkan bersama pelakon Leslie Mann dan Kate Upton dalam filem yang akan ditayangkan pada 25 April ini.
Previous Post Next Post