Penyanyi ND Lala memohon agar semua pihak tidak menghentam atau menyalahkan anaknya, Shila Amzah berhubung isu pemakaian Shila yang hangat diperkatakan sebelum ini. Shila yang kini sedang menempa nama di China dihentam gara-gara mengenakan pakaian yang menampakkan seolah-olah dia tidak memakai seluar ketika membuat persembahan di sana.
ND Lala ketika ditemui di sidang akhbar pengumuman 'Konsert Cinta Shila Amzah' di Menara Kuala Lumpur pada petang Jumaat menjelaskan bahawa dia akan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap perkara ini memandangkan pemilihan pakaian Shila pada ketika itu juga turut dipersetujui oleh pihaknya.
"Sebagai bapa, saya akan bertanggungjawab atas segala yang berlaku. Kesalahan itu patut diletakkan pada saya dan bukannya Shila. Saya berada bersamanya di mana sewaktu itu, Shila terlibat dalam rakaman lima buah program," ujar ND Lala menjawab bagi pihak Shila.
"Ketika selesai rakaman jam 1.30 pagi, pihak produksi meminta untuk merakamkan sebuah lagi lagu di mana pada waktu itu, penonton sudah balik. Ketika itu, hanya pakaian itu sahaja yang tinggal dan sebagai bapa, saya bertanya adakah ini saja pilihan yang ada?
Namun, dalam keadaan jam 1.30 pagi, tak kan kami nak pulang ke hotel dan kembali semula ke studio yang mengambil masa perjalanan lebih kurang dua jam. Disebabkan tiada pilihan lain, kami mengambil perkara ini dari sudut yang positif. Sebenarnya, Shila memakai seluar dan soal warna, itu sahaja warna yang ada ketika itu," jelas ND Lala kepada pihak media yang hadir.
Ketika pertemuan tersebut, ND Lala juga turut meminta agar semua pihak melihat anaknya itu sebagai ikon penyanyi. Menurut ND Lala, tidak adil rasanya untuk meletakkan Shila sebagai ikon Muslimah apatah lagi tanggungjawab tersebut sangat berat untuk dipikul.
ARTISMELETOP juga sempat bertanya kepada Shila berhubung perkara ini dan pelantun lagu 'Patah Seribu' ini memberitahu soal pakaian diuruskan oleh pihak pengurusan di sana. Tambah Shila, setiap manusia melakukan kesilapan dan dia akan cuba berhati-hati mengenai soal pemakaian selepas ini.