ZIANA ZAIN teruja untuk mengadakan Konsert I Am Ziana Zain yang bakal berlangsung pada 27 September depan di MITC, Melaka.
BEZANYA Siti Roziana Zain pada tahun 1991 dan 2014 jelas sekali dari segi penampilan dan keupayaan vokal lantangnya. Walaupun pada awal pembabitan empunya nama pentas Ziana Zain itu kalah dari segi imej, namun keunggulan vokalnya tiada tandingan dengan mana-mana artis.
Seiring dengan pertambahan usia dan kematangan, Ziana tidak terlepas daripada kritikan vokal yang sudah tidak sekencang zaman mudanya.
Paling jelas, ketika beliau beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-23 pada 2008 menerusi lagu Dingin yang menduga Ziana sebagai penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Voice Of Asia 1995.
Mungkin ada yang melihat bisa Ziana tidak lagi setanding dahulu apatah pula untuk mengadakan sebuah konsert mega pada usia yang memasuki angka 46 tahun ini.
Mudah bagi Ziana kerana prinsipnya, ukurlah baju di badan sendiri. Menyanyi mengikut kudrat dan kemampuannya tanpa perlu memaksa diri menjadi terlalu mencuba hingga akhirnya gagal.
"Asasnya saya menyanyi dengan stamina yang ada pada usia sekarang dan tidak seperti usia muda.
"Syukur Alhamdulillah, saya diberikan julat vokal yang besar maka jika diturunkan satu not pun tidak jauh bezanya selagi masih kedengaran enak dan tidak mencacatkan," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert I Am Ziana Zain di Hotel Royale Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
I Am Ziana Zain
Atas dasar kematangan, tambah Ziana, seiring dengan peningkatan usia, beliau sudah arif dengan selok-belok dunia hiburan dan tahu apa yang dimahukan.
"Pemikiran dan penampilan pun berbeza. Sejujurnya, industri seni telah mematangkan saya sebagai Ziana Zain dan membuka mata saya. Terhasilnya saya kerana cara saya sendiri mengikut peredaran masa," ujarnya.
ZIANA ZAIN teruja untuk mengadakan Konsert I Am Ziana Zain yang bakal berlangsung pada 27 September depan di MITC, Melaka.
Bercerita lebih lanjut mengenai konsep persembahan Konsert I Am Ziana Zain yang bakal berlangsung pada 27 September depan di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka, kata Ziana beliau hanya akan menyanyikan lagu-lagu miliknya saja sepanjang tempoh dua jam konsert berlangsung.
"Konsep persembahan saya adalah I Am Ziana Zain maka lagu-lagu pun seharusnya lagu nyanyian saya. Dari segi pemilihan lagu rasanya terlalu banyak lagu yang belum pernah saya nyanyikan sebelum ini untuk saya rangkumkan sempena konsert ini.
"Contohnya, lagu-lagu daripada album kedua saya (Ziana Zain, 1993) yang teringin untuk saya nyanyikan, malah album itu pun saya sendiri tiada dalam simpanan," ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut konsep yang diinginkan untuk Konsert I Am Ziana Zain, kata Ziana, dia inginkan sebuah persembahan pelbagai warna sepanjang perjalanan kariernya termasuk sebuah slot tribute kepada komposer dan penulis lirik kegemarannya seperti Zuraini Khalid dan Adnan Abu Hassan.
Ziana memberitahu, konsert yang dibawakan oleh Gold Earth Pictures Sdn. Bhd. itu akan menampilkan artis undangan yang dirahsiakan terlebih dahulu.
Konsert itu diberi judul sempena nama yang digunakan untuk akaun Twitter dan Instagram peribadi Ziana (@iamzianazain).
Anjak tarikh
Dalam pada itu, konsert yang asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan April ini sebenarnya telah ditunda ke tarikh berkenaan untuk menghormati tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH307.
"Penundaan ini sekurang-kurangnya memberikan saya dan produksi terbabit lebih masa untuk bersedia dalam banyak hal selain menghormati tragedi pilu yang melibatkan negara kita," jelasnya.
ZIANA sedar kemampuan vokalnya sudah tidak sehebat zaman muda.
Ziana meletakkan konsert adiknya, Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari tahun lalu sebagai garis panduan dan ukuran untuk kejayaan konsertnya nanti.
Tambah Ziana, beliau mementingkan tiga perkara sepanjang perjalanan konsertnya iaitu pencahayaan, sistem bunyi dan susunan muzik.
Lantas penyanyi lagu Madah Berhelah itu melantik Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik yang akan mengemudi lebih 22 buah lagu sepanjang konsert itu.
"Malah, saya menjadikan Konsert Teaterikal Suara Kita sebagai pembakar semangat untuk mengadakan konsert ini.
"Bayangkan, dengan usia saya sekarang saya mampu berlari ke sana sini menggunakan kasut tumit tinggi, menukar pakaian seperti persembahan di Las Vegas dan kembali semula ke pentas untuk menyanyi dan berlakon.
"Maknanya, saya masih boleh melakukannya tapi kena menjaga pernafasan dan stamina," tambahnya.
Balik Melaka
Berbeza daripada kebanyakan konsert mega yang memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi ideal untuk mengumpulkan semua peminat, Ziana pula sebaliknya. Dia memilih untuk pulang ke kampung halaman di Melaka.
"Melaka ada kelainan kerana ramai peminat saya terdiri daripada orang kampung halaman. Kalau boleh saya mahu melakukan konsert di lokasi yang lagi jauh.
"Bajet berbeza-beza kalau di Kuala Lumpur dan Melaka. Insya-Allah, saya rasa ia dapat dikurangkan serba sedikit kalau dilakukan di luar bandar tapi tidak bermakna konsert yang berskala kecil tidak mampu kelihatan mega," ujarnya optimis.
Tiket Konsert I Am Ziana Zain dijual pada harga RM325 (platinum), RM255 (diamond), RM155 (gold) dan RM95 (silver). Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.ticketpro.com.my atau pembelian terus di pejabat urusan Gold Earth Pictures Sdn. Bhd.