EKORAN namanya sudah tujuh tahun berturut-turut dinobatkan sebagai supermodel yang meraih pendapatan tertinggi di dunia oleh majalah Forbes, Gisele Bundchen telah meraih perhatian jabatan cukai Amerika Syarikat.
Siasatan terhadap aset kekayaan yang dimilik figura jelita kelahiran Brazil itu telah dilakukan oleh pihak IRS (America's Internal Revenue Service).
Gisele dalam kenyataannya kepada laman web, Mdemulher berkata: "Sangat menyedihkan apabila ada pihak yang menulis tentang pendapatan saya tetapi sebenarnya tidak pasti tentang perincian akaun bank saya."
Tambahnya: "Sememangnya pendapatan hasil kerjaya saya sebagai model memberangsangkan tetapi jumlahnya tidaklah setinggi seperti yang dilaporkan (Forbes).
"Pihak IRS sudah pun melakukan siasatan terhadap pendapatan saya ekoran nama saya sering dipaparkan sebagai nombor satu dalam senarai supermodel terkaya di dunia."
Gisele mengakui kesal kerana namanya diletakkan sebagai juara carta tersebut.
"Saya juga manusia biasa, seorang wanita, isteri dan ibu yang sedang membesarkan anak-anak, kenapa pula isu tentang pendapatan tahunan yang diraih saya diperbesar-besarkan?" getus Gisele.