Syamsul, Syafiq tak sangka sanding serentak


DARI kiri: Syamsul, Sarah, Aeisha dan Syafiq gembira dapat meraikan bersama hari bahagia mereka di Dewan Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

MAJLIS persandingan anak lelaki penerbit filem terkenal, Datuk Mohd. Yusof Haslam, Syamsul dan Syafiq bertambah meriah apabila mereka berdua naik pelamin serentak.

Tidak pernah merancang dan menyangka perkara tersebut menjadi kenyataan, menurut Syamsul, 30, yang segak bertanjak di samping isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 29, bersyukur kerana persandingan serentak itu merupakan impian ibu dan bapanya.

“Sebenarnya, saya tahu Syafiq akan berkahwin dahulu sebab dia sudah lama bertunang. Tidak sangka pula hari ini kami duduk atas pelamin bersama. Sebenarnya dua tiga tahun lepas saya pernah bergurau ingin bersanding sekali. Tidak sangka pula gurauan itu menjadi kenyataan.

“Ikutkan memang ayah dan ibu kami paling gembira kerana mereka menyimpan impian untuk melihat kami bersanding bersama. Saya bersyukur kerana perkahwinan kami cukup menggembirakan mereka,” kata Syamsul.

Tambah Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul, kehadiran Sarah sebagai isteri telah melengkapkan kehidupannya.

“Sebelum ini saya rasa ada perkara yang tidak lengkap dalam hidup. Selepas berkahwin, baru saya sedar perkahwinanlah yang saya perlukan. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan orang yang sangat memahami saya,” ujarnya.




Bulan madu

Bercakap tentang bulan madu, kata Syamsul, beberapa hari selepas dinikahkan pada 8 Mac lalu, mereka telah bercuti di Pulau Pinang.

“Itu kira bulan madu untuk kami. Tidak semestinya berbulan madu harus ke luar negara,” ucap Syamsul yang menyerahkan rezeki anak kepada Allah.

Apabila disoal tentang masa depan kerjayanya selepas filem KL Gangster 2 yang menelan belanja RM4.5 juta dicetak rompak sebelum tayangannya, Syamsul terdiam sebentar.

“Apa yang berlaku saya biarkan ia berlalu. Saya percaya dalam hidup seseorang tidak kira sesiapa pun, kita akan diberi satu ujian yang besar. Saya bersyukur ujian besar diberi kepada saya ketika saya berusia 29 tahun bukannya 39 tahun. Lebih baik ujian datang awal daripada lewat,” jawabnya



IMPIAN Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail untuk melihat dua anak lelaki mereka bersanding serentak terlaksana.

Meskipun kecewa dengan apa yang telah berlaku, Syamsul tetap akan terus berkarya sebagai pengarah. Terbaharu, dia kini dalam proses menulis skrip filem seram keduanya yang berjudul Munafik.

“Sekarang, saya bekerja dengan bijak kerana sudah ada keluarga yang harus dijaga. Tidak boleh bekerja teruk seperti dahulu. Kesihatan harus diutamakan.

“Ada tiga buah filem yang masih dalam proses perbincangan. Cuma buat masa ini saya fokus kepada filem seram terlebih dahulu,” katanya sambil ditemani Sarah yang tidak bersuara sedikit pun ketika temu bual dijalankan.

Nikah muda

Beralih kepada Syafiq, 22, dan pasa- ngan seusianya, Aeisha Zainal yang telah dinikahkan pada 5 April lalu di Surau Tabung Haji, Kuala Lumpur, mereka cukup gembira apabila dapat bersanding serentak.

“Saya cukup seronok kerana dalam majlis persandingan ini, saya dapat jumpa ramai rakan dan artis lama yang sebelum ini saya jumpa ketika kecil. Selain itu, saya cukup terharu apabila kakak saya, Nursyamin membacakan sajak buat kami berdua,” ujarnya.

Soal berkahwin pada usia yang muda, tegas Syafiq, itu bukanlah satu masalah, sebaliknya rahmat kerana dikurniakan isteri pada usia muda.

“Kami bukan ikut trend, sebaliknya sudah ditentukan jodoh kami pada usia muda. Kami berkahwin selepas empat tahun bercinta dan bertunang ketika tempoh perkenalan masuk usia dua setengah tahun. Bagi saya, Aeisha seorang yang kelakar dan cukup memahami kerja saya,” balas Syafiq.

Menurut Aeisha, mereka berkenalan ketika menuntut di kolej dan sangat tertarik dengan sikap baik hati suaminya itu.

“Saya sukakan Syafiq kerana dia seorang yang baik hati dan suka tolong orang. Dia tidak boleh lihat kawannya ditimpa kesusahan pasti dia akan tolong,” kata Aiesha yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Meskipun masih muda, Syafiq dan Aiesha tidak merancang keluarga, sebaliknya andai dikurniakan cahaya mata segera, mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.

Menyentuh tentang kerjaya Syafiq, kini dia sedang sibuk dengan proses akhir filem arahannya berjudul Abang Long Fadil yang akan ditayangkan pada 29 Mei depan.

“Banyak kerja yang harus dilunaskan sebelum filem Abang Long Fadil ditayangkan. Selain itu, saya juga sedang sibuk dengan proses suntingan filem Vila Nabila yang belum tahu tarikh tayangannya,” beritahu Syafiq yang akan menetap bersama ibu bapanya selepas berkahwin.

Dalam majlis persandingan yang berlangsung pada malam Jumaat lalu di Dewan Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tetamu turut dihiburkan dengan nyanyian daripada Ziana Zain, Mawi, AC Mizal, Hail Amir dan Uji Rashid.
Previous Post Next Post