Nafas Cahaya Misha, Firos



SETELAH dua kali menunda tarikh pernikahan, Misha Omar dan Firos yang bertunang pada Februari 2012 kini selamat bergelar pasangan suami isteri.

NAFAS lega terlerai keluar dari sanubari penyanyi Misha Omar saat sempurna jejaka dari Subang Jaya, Selangor itu melafazkan akad. Bak lagu yang pernah dilantunnya, Nafas Cahaya, terasa seperti segala perit yang membungkam dan menyesak dada dilepaskan lantas diganti cahaya bahagia yang lama didamba.

Seri pengantin bersulam bersama pancaran lega dalam mata Misha yang berkaca. Ada air mata yang tertumpah dan ada sinar bening yang terbit di ruang mata wanita yang ayu berkerudung dalam persalinan putih rekaan pereka Saiful Baharim itu.

Kegembiraan jelas terlukis di wajahnya setelah mengharungi pelbagai ujian dan penantian. Jendela dan pintu tohmah yang selama ini terbuka luas bagai terkatup usai juruterbang, Firos Ezzwan Rossly sah belahan jiwanya pagi Jumaat lalu.

Selama ini, Misha galak ditohmah pernah berkahwin, berkahwin sembunyi-sembunyi dan diceraikan sebagai isteri ketiga usahawan automotif bergelar Datuk.




Berkali-kali juga perkahwinannya tertangguh sejak mengikat tali pertunangan dengan Firos pada 21 Februari 2012. Sebelum ini, penyanyi Angin Syurga itu pernah merancang untuk berkahwin pada September 2012, namun ditunda untuk memberi laluan kepada adik Firos yang turut memilih bulan perkahwinan yang sama.

Ketika itu, Firos juga berdepan komitmen untuk mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan bagi mengendalikan pesawat Airbus A330.

Perkara yang sama berulang kembali apabila majlis yang dirancang pada Februari lalu ditunda sekali lagi sebagai tanda penghormatan kerana ahli keluarga Misha masih bersedih dengan pemergian arwah ayahnya, Omar Ismail, 75, pada 30 November lalu.

Namun, semua itu belum cukup menutup kata nista apabila ada mulut-mulut jahat menuduh penundaan tarikh pernikahan Misha dan Firos juga digosipkan berpunca daripada kelewatan Misha mendapatkan surat perceraian perkahwinan daripada seorang usahawan di Kelantan.

Namun, di tingkat enam Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan, tempat berlangsung upacara ijab kabul oleh jurunikah Imam Mukim Chempaka, Ustaz Ahmad Khamil Mat itulah bukti dan keterangannya dalam pembelaan diri wanita itu akhirnya.

"Pada saya, inilah realitinya. Kadang-kadang kita tak perlu terus berdiri mempertahankan benda yang kita dah sekian lama pertahankan iaitu 'saya tak pernah berkahwin', saya dah letih, jadi kita balas dengan benda-benda yang nyata, yang tak boleh dijual beli.


SEBAGAI simbolik cinta sejati, Misha Omar tidak mahukan wang sebaliknya hanya seutas gelang emas sebagai mas kahwin. Dia juga tidak menerima sebarang wang hantaran.

"Kami lega sekali akhirnya. Alhamdulillah, inilah hari kemenangan kami dalam melalui pelbagai ujian," kata Misha selepas majlis akad nikahnya.

Sang suami juga nampaknya turut teguh di belakangnya.

"Saya menitiskan air mata sebab gembira kami berkahwin dan tertutuplah segala apa yang orang hendak cakap tentang isteri saya," ungkap Firos sebak dan pantas mencapai tangan Misha yang berada di sisinya lalu tangan isterinya itu dikucup syahdu.

Dalam majlis tersebut, Misha dinikahkan berwalikan abangnya, Mohd. Rose Omar dan sepasang gelang emas sebagai mas kahwin.

Pernikahan dihadiri ahli keluarga kedua-dua mempelai termasuk ibu Misha, Zainab Mat Nor dan ibu Firos, Asmah Kenin. Majlis yang diacarakan oleh rakan artis, Adibah Noor itu turut dihadiri Amy Mastura, Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nadzir.

Berkongsi perasaannya sebelum hendak ke pentas pernikahan, Misha mengakui perasaannya bercampur-baur dan debarannya begitu hebat.

"Rasanya nak naik membuat persembahan di pentas-pentas lain termasuklah di pentas-pentas besar pun tak rasa begini. Selain rasa debar, ada rasa sedih, sayu dan syukur. Rasa syukur akhirnya detik ini sampai juga dalam hidup saya," ujarnya.

Bercakap mengenai mas kahwinnya yang memadai sepasang gelang emas, Misha berkata, itulah simbolik cinta mereka.

"Saya berbesar hati suami memberikan saya ini, betul saya tak nak duit. Duit boleh habis, kalau beli barang, barang pun boleh hilang. Bagus juga dia bagi saya emas, nilai emas sentiasa ada, kalau jatuh pun tak lama.

"Jadi harapan saya cinta kami pun simboliknya begitu. Cinta kami setulen emas dan harap nilai kasih sayang kami akan bertambah mekar," kata penyanyi yang popularitinya memuncak melalui lagu Bunga-Bunga Cinta pada tahun 2003.

Kini, apa yang diharapkan oleh Misha dan Firos ialah rumah tangga yang terbina pada 2 Mei lalu itu kekal hingga ke akhir hayat.

"Mudahan-mudahan tarikh 2 Mei bersamaan 2 Rejab, yang jatuh pula pada hari Jumaat yang barakah itu memberi keberkatan kepada kami dan jodoh kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat, ke alam syurga," ungkap Misha.

Semoga abadi Misha, Firos!
Previous Post Next Post