KATA Ogy, setiap individu biarlah cantik dengan memiliki ilmu.
EBUT sahaja nama Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, pasti khalayak sudah terbayang kelantangan dirinya dalam memberi pendapat sebagai juri program realiti TV, selain keberkesanan mutu lakonannya di layar kaca mahupun layar perak.
Berpengalaman selama 40 tahun sebagai anak seni, pelakon, pengarah, pengacara dan penerbit terkenal itu meluahkan rasa kecewanya apabila melihat kualiti lakonan yang diberikan oleh golongan pelakon baharu.
“Saya juga menonton program di TV jika ada masa terluang. Ramai pelakon baharu yang cantik tetapi tidak ada ilmu lakonan.
“Semua orang suka lihat orang yang cantik tetapi biarlah cantik dengan ilmu. Amat berbeza istilah seorang pelakon dan aktor atau aktres.
“Pelakon merupakan orang yang boleh berlakon tetapi aktor atau aktres berlakon dengan penuh penghayatan dan pengisian,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar program Fenomena Impak Kecantikan Eksplorasi Dirimu di Hotel Summit, USJ, Selangor, baru-baru ini.
Tambah Ogy, 51, dia juga berasa hairan apabila ramai pelakon baharu berasa takut apabila bergandingan dengannya dalam drama mahupun filem.
“Janganlah takut dengan saya, sebab saya bukannya makan orang (ketawa). Tidak ada orang boleh jadi hebat dalam sekelip mata.
“Apa yang saya miliki hari ini, hasil daripada ilmu yang saya pelajari sepanjang 40 tahun bergelar anak seni.
“Jika mereka salah, jangan malu bertanya kerana saya juga tidak kisah untuk memberikan ilmu yang saya ada kepada pelakon generasi baharu
“Bagi saya, jika takut dengan saya bermakna mereka tidak bersedia sepenuhnya kerana saya sentiasa bersedia apabila tiba di set penggambaran,” tuturnya.
Disebabkan itu menerusi syarikatnya Ogy Ventures & Network, Ogy telah menganjurkan bengkel lakonan untuk mereka yang ingin bergelar pelakon mahupun membina keyakinan diri.
“Alhamdulillah, salah satu azam saya tahun ini telah tercapai iaitu menganjurkan bengkel lakonan di bawah kendalian saya sepenuhnya.
“Bayarannya RM100 untuk setiap sesi asas yang akan diadakan pada 3, 10 dan 17 Mei ini di Dewan Seri Temuan, Damansara Perdana, Selangor. Terbuka kepada semua, tidak had umur. Setakat ini sambutan amat menggalakkan,” ujarnya yang pernah menjadi guru lakonan untuk beberapa orang pelakon terkenal termasuk Lisa Surihani.
Sambungnya, jika ada peserta daripada bengkel lakonannya yang berpotensi tinggi mereka akan ditawarkan menjadi artis di bawah naungannya.
“Sebenarnya sudah banyak bengkel lakonan yang saya adakan sebelum ini. Apa yang saya lihat selepas bengkel lakonan berakhir, peserta tidak tahu ke mana hala tuju mereka untuk bergelar pelakon.
“Sebagai orang yang berpengalaman, saya akan mengambil mereka yang berpotensi menjadi artis di bawah syarikat pengurusan saya dan kembangkan bakat mereka dalam bidang seni. Sesiapa yang berminat boleh hubungi talian 017-7396 882 atau e-mel ke ianzfaris.ovn@gmail.com,” tuturnya.
Beri motivasi
Dalam pada itu, Ogy, juga masih aktif sebagai pelakon, namun dia cukup selektif dalam memilih karya yang ditawarkan kepadanya.
“Memang saya akui, sekarang ini saya cukup selektif apabila tawaran datang kepada saya.
“Jika skripnya menarik dan memberi kepuasan kepada saya, barulah saya akan terima,” katanya yang bakal muncul dalam telefilem, Seteguh Kasih Ibu, Seligar dan Malaikat Yang Tersembunyi.
Terbaharu, ibu kepada Nur Aminah Aishah, 7, itu juga sibuk dengan program motivasi Fenomena Impak Kecantikan Eksplorasi Dirimu kerjasama antara syarikatnya dan juga produk kecantikan Cosmoderm yang bakal berlangsung pada Jun depan.
“Saya bukanlah pakar motivasi tetapi menggunakan ilmu seni dan pengalaman yang dimiliki, saya mencipta modul untuk memberi motivasi kepada peserta.
“Seni cukup luas bukan hanya untuk menjadi pelakon atau penyanyi tetapi seni digunakan untuk meningkatkan potensi diri serta membuang aura negatif supaya kita lebih berjaya dalam hidup,” terangnya.
Program Fenomena Impak Kecantikan Eksplorasi Dirimu itu mengenakan bayaran RM500 kepada peserta untuk program selama dua hari.
Bagi mereka yang berminat boleh hubungi talian 03-5879 6150/016-210 4287 atau layari laman web www.cosmoderm.com.my.