ANUAR mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar selfie bersama peminatnya.
LELAKI bernama Anuar Zain seharusnya menjadi ikon kepada setiap artis. Pada usia 44 tahun apa yang tidak dimiliki oleh pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain itu. Kehebatan, kemasyhuran, kekayaan, dan juga dipuja peminat-peminatnya. Dia seharusnya boleh mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapinya.
Namun, Anuar bukan seperti itu. Dia sedar sebagai seorang selebriti yang diagungkan, sikap rendah diri, bersyukur dan bersederhana adalah kunci untuk hidup bahagia.
Kehidupan adalah sebuah kelangsungan. Bukan untuk kepentingan diri mencipta ego, memilih ‘bulu’, meraih pangkat atau darjat. Disebabkan itu, Anuar sentiasa melayani peminat-peminat mahupun media dengan sama rata. Perkara itu diaplikasikan Anuar menerusi persembahan Terindah...Anuar Zain sempena Minggu Setiausaha yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Usai melantunkan lagu Ketulusan Hati, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu turun ke pentas merapati setiap meja peminatnya tidak kira yang membeli tiket pada harga RM1,380 mahupun RM480 untuk merakamkan gambar ‘selfie’. Dengan menggunakan telefon pintar miliknya, Anuar juga menggunakan monopod (peralatan ‘selfie’) dan ia adalah kejutan yang dimaksudkannya dalam sidang akhbar terdahulu mengenai persembahan minggu setiausaha yang akan dilakukannya.
Sedetik kemudian, Anuar memanggil pula teman-teman media untuk merakamkan gambar ‘selfie’.
“Terima kasih kerana berada di sini hari ini. Anda (peminat-peminatnya) boleh berada di mana-mana sahaja tetapi anda memilih untuk bersama saya. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi berjumpa dengan saya pada hari ini. Saya harap anda semua suka dengan makanan yang dihidangkan. Kepada semua rakan media terima kasih kerana memberi sokongan padu terhadap Terindah...Anuar Zain sehingga ramai yang datang pada hari ini,” getus Anuar pada hari itu.
Biarpun tidak mempunyai laman sosial Twitter mahupun Instagram, pelantun lagu Sedetik Lebih itu memaklumkan foto yang diambilnya itu boleh didapati menerusi #anuarzain dan #terindahanuarzain termasuk mengunjungi Facebook Anuar Zain Network.
Tolak negatif
Penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka itu pernah mengaku, untuk kekal dan terus menyanyi sampai ke saat ini, dia harus mempunyai strategi ampuh. Dia juga memutuskan menjadi seorang yang kekal menyimpan privasi dan pemilih dalam banyak perkara.
“Macam dalam soal media sosial, saya tiada Twitter, Instagram dan cuma ada satu akaun rasmi Facebook, Anuar Zain Network yang baru dibuka tahun lalu. Itu pun diuruskan oleh pihak pengurusan saya.
Saya selesa begini dan masih tidak berhajat mengikuti gaya hidup sebegitu,” ujarnya yang melihat media sosial lebih banyak mengundang negatif berbanding positif menerusi satu petikan artikel Kosmo! keluaran 22 September 2013 yang ditulis oleh Tengku Suzana Raja Hamat.
Anuar sememangnya berada dalam kelas tersendiri. Mengusung pesona seorang bintang. Mungkin bukan seperti sesetengah artis yang menggunakan laman sosial secara kerap sehingga mampu mengundang negatif pada diri sendiri dan khalayak yang melihatnya.
Turut hadir pada persembahan minggu setiausaha pada hari itu ialah kakak Anuar iaitu Ziana dan suami, penyanyi Adibah Noor serta rakan duet lagu Kain Pelikat, Ellina Abd. Razak.
Sambil bergurau Anuar turut mengajak Ellina berduet bersamanya menyanyikan lagu tersebut.
Persembahan eksklusif
Seperti persembahan minggu setiausahanya yang lalu, kerlipan lampu kamera setiap masa memenuhi segenap ruang dewan dan Anuar tetap dipeluk apabila dia menghampiri peminat-peminatnya.
Biarpun, persembahan Anuar dilakukan dengan ciri standard dan eksklusif seorang bintang namun, 700 tetamu yang hadir menonton persembahan minggu setiausaha Terindah...Anuar Zain pada hari itu dapat merasai rasa akrab dan mesra yang diberi penyanyi itu.
Majlis yang dianjurkan syarikat Anuar sendiri iaitu Anuar Zain Network Sdn. Bhd. itu sememangnya diatur menerusi citarasa Anuar sendiri.
Daripada hidangan makanan seperti kek coklat yang merupakan makanan kegemaran Anuar sendiri, sehinggalah tata rias dewan dan pentas serta pilihan barangan untuk ‘goodies bag’ para tetamu pada hari itu.
Berkongsi momen persembahan Anuar pada hari itu, Anuar muncul secara mengejut di pintu utama (bukan di atas pentas) kira-kira pukul 2 petang. Mengalunkan lagu Keabadian Cinta, tetamu yang setia menunggu sejak pukul 12 tengah hari lagi bangun untuk melihat dan merakamkan wajah penyanyi kesayangan mereka menerusi kamera masing-masing.
Persembahan Anuar diteruskan dengan lagu permintaan daripada peminat iaitu Pernahkah dan kemudiannya dia menyanyikan lagu Bila Resah dengan susunan muzik yang baharu dan lebih segar.
Selaut kepuasan terpancar di wajah peminat-peminat tatkala Anuar mengalunkan lagu-lagu popularnya seperti Ajari Aku, Sedetik Lebih dan Lelaki Ini.
Anuar turut menyanyikan lagu baharunya, Kembali Padamu Illahi.
“Lagu ini ditulis oleh Dalilah Tamrin yang telah meninggal akibat penyakit kanser. Ketika hayatnya, dia mahukan saya menyanyikan lagu ini dalam persembahan saya,” ungkap Anuar.