KEHIDUPAN solo Ricky kini tidak lagi dihimpit kesunyian dengan kehadiran dua anak kembarnya ini.
PERNAH menggegar dunia menerusi lagu Livin La Vida Loca dan The Cup of Life pada Piala Dunia 1998, penyanyi antarabangsa Ricky Martin kini tampil dengan sebuah lagi lagu untuk Piala Dunia FIFA 2014 berjudul Vida.
Bezanya, penyanyi kelahiran Puerto Rico itu pada tahun 1998 dan 2014 jelas pada faktor usianya. Kini usia Ricky atau nama sebenarnya Enrique Ricky MartÃn Morales sudah mencecah 42 tahun. Berbanding ketika dia beraksi menyanyikan lagu The Cup of Life, Ricky pada waktu itu baru berusia 27 tahun.
Namun, lontaran vokalnya tetap mengalir hebat dan sarat penghayatan. Malah, wajah dan sosok tubuhnya tidak sekali dimamah usia.
Cuma, harus diakui lenggok tariannya tidak lagi selincah dahulu saat lagu Vida didendangkan kepada media-media dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura baru-baru ini.
Klip video Vida ternyata berjaya mengumpan jiwa dan mengubat penantian sebelum kami menemu bual Ricky melalui aplikasi Skype pada hari itu.
Video berdurasi tiga setengah minit itu sebahagian besar menunjukkan penampilan Ricky menyanyi, menari, dan berpesta dengan beberapa temannya. Klip itu juga menunjukkan sekilas beberapa remaja, orang tua, dan anak-anak yang sedang bermain bola sepak.
Turut sama pada majlis memperkenalkan lagu tersebut ialah penyanyi Alif Satar (Malaysia), Judika (Indonesia) dan Sezairi (Singapura).
Tiga penyanyi itu mendapat kesempatan untuk berkolaborasi dengan Ricky Martin dalam lagu Vida versi Asia, biarpun rakaman lagu dilakukan secara terpisah.
Senang berkolaborasi
Sedetik kemudian, talian Skype yang menghubungkan Ricky di Sydney, Australia, dihubungkan, ungkap Ricky: "Saya berharap dapat berada di sana bersama anda semua. Tetapi apakan daya, saya terpaksa berada di Australia untuk rakaman album baharu yang bakal dipasarkan pertengahan tahun ini dan juga merakamkan video promosi untuk pertandingan The Voice Australia."
Bicara penyanyi, penulis lagu dan pelakon itu juga, dia sudah berada di sana (Australia) selama tiga bulan dan selepas ini dia akan bertolak ke Miami, Amerika Syarikat untuk mengadakan persembahan di sana.
Berasa seperti kembali ke era 1998, Ricky mengakui tertarik dengan tawaran Sony Music yang mengajaknya berkolaborasi bersama tiga penyanyi Asia menyanyikan lagu untuk Piala Dunia FIFA 2014 versi Asia.
"Beberapa bulan lalu, saya dihubungi Sony untuk rakaman ini. Sungguh menyenangkan dapat berkerja sama kembali dalam projek Piala Dunia. Ia mengembalikan memori saya menyanyikan lagu The Cup of Life pada tahun 1998.
"Saya tertarik dengan lagu Vida kerana ia memiliki unsur tropika dengan adanya sentuhan Caribbean dalam susunan muziknya, serta terdapat sentuhan Afrika.
"Lagu ini catchy dan mampu menembus batas setiap budaya di seluruh dunia. Apatah lagi dapat berkolaborasi dengan penyanyi Asia seperti Alif, Judika dan Sezairi," tuturnya merendah diri.
Bagi Ricky, keindahan daripada muzik itu tidak hanya terletak pada muzik itu sendiri, tetapi juga kesempatannya untuk dinikmati secara universal.
Sejak terjun dalam industri muzik dahulu, Ricky memilih keutamaan bahawa muzik dan lagu yang dibawakan itu selayaknya dapat menyatukan budaya dari mana-mana belahan dunia.
Vida yang muziknya dihasilkan oleh Salaam Remi, pemuzik yang terkenal dan handal dalam menangani muzik The Fugees, Amy Winehouse dan Nas sudah dirakam dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Indonesia, Malaysia dan Sepanyol.
Sama seperti The Cup of Life yang kaya dengan nuansa Latin, Vida turut dirakam dalam jalur muzik hampir serupa. Ia seperti cukup sinonim dengan Ricky.
"Lagu Vida versi Asia turut masuk dalam album Piala Dunia 2014, One Love, One Rhythm. Album itu juga mengandungi lagu kolaborasi saya bersama Pitbull, Jennifer Lopez & Claudia Leitte (We Are One Ola-Ole).
Anak kembar
Bagaimanapun, pihak media sedikit hampa apabila pihak pengurusan Ricky tidak membenarkan pihak media bertanya tentang soalan peribadi bintang terkenal itu.
Akur dengan permintaan mereka, soalan mengenai Vida sahaja yang dapat diutarakan kepada pemenang anugerah Grammy itu.
Tetap mahu menyorot tentang kehidupan peribadinya, sebenarnya pada usia melewati 40-an, Ricky masih belum berumah tangga.
Bagaimanapun kehidupan sunyi Ricky terisi dengan dua cahaya mata angkat kembar bernama Valentino, 6, dan Matteo, 6.
Matteo dan Valentino dilahirkan menerusi ibu tumpang (identiti wanita berkenaan dirahsiakan) dan Ricky memperoleh kembar tersebut pada Ogos 2008.
Terbaharu, Ricky dilihat bersama-sama anak angkat kembarnya di Sydney sempena lawatannya ke sana. Ternyata, meskipun sibuk, Ricky tampak begitu menyayangi mereka dan tidak kelihatan kekok mengasuh pasangan kembar itu.
Sebagai anak kepada penyanyi popular, Matteo dan Valentino juga nampak cukup bergaya. Malah, tata rias rambut Matteo dan Valentino juga seperti bapa angkat mereka.
Begitupun, Ricky tidak mahu terlalu memanjakan anak-anaknya. Dia kelihatan membiarkan anak-anaknya itu menarik beg pakaian mereka sendiri.
Memetik ulasan Ricky dalam satu temu bual bersama Ellen DeGeneres baru-baru ini, penyanyi bertubuh sasa itu memberitahu, kedua-dua anak kembarnya itu fasih bertutur dalam tiga buah bahasa.
"Matteo dan Valentino belajar bercakap bahasa Inggeris daripada saya, manakala bahasa Sepanyol menerusi ibu bapa mereka," jelasnya.
Malah, Ricky juga memberitahu, dia menghantar kedua kanak-kanak itu di sebuah sekolah Perancis di New York, sekali gus membuatkan mereka turut fasih berbicara dalam bahasa Perancis.
Ternyata, sikap Ricky yang cintakan pelbagai budaya itu turut diturunkan kepada anak kembarnya.
Menerusi autobiografi yang ditulis Ricky berjudul Me, ia mendedahkan bagaimana kehidupan dirinya berubah selepas bergelar bapa kepada dua cahaya mata kembar itu.
Antara kata-kata Ricky mengenai anak-anaknya dalam buku tersebut adalah:
"Matteo dan Valentino ialah anak-anak saya. Kehadiran mereka mengubah hidup saya. Dan sejak mereka ada baru saya sedar, kemampuan saya dalam melakukan semua perkara termasuk menjadi bapa kepada mereka."