Aidil Zafuan terkejut apabila dikatakan terpaksa berlakon bagi membayar nafkah tertunggak kepada bekas isterinya, Rita Rudaini.
Pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan menyifatkan tuduhan dia melibatkan diri dalam bidang lakonan bagi menambahkan pendapatannya agar dapat membayar nafkah tertunggak kepada bekas isteri, Rita Rudaini adalah mengarut.
Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata, dia terkejut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan kontroversi sedangkan penglibatannya dalam lakonan baru-baru ini sekadar ingin mencuba bidang baru.
"Tuduhan saya mahu tambah pendapatan kerana perlu membayar nafkah sangat mengarut. Saya terkejut apabila ada pihak yang sengaja mahu memanaskan isu.
"Sedangkan apa yang saya lakukan sekarang ini (berlakon) sekadar suka-suka. Tak ada kena mengena dengan nafkah. Gaji saya sebagai pemain bola sepak sahaja dah cukup untuk beri nafkah anak," katanya kepada ARTISMELETOP.
Pada Rabu lalu, Aidil telah memuat naik foto dia seperti sedang berlakon di sebuah lokasi penggambaran dengan meletakkan kapsyen 'At the set with wife @zaremazaina. #TheGlups'.
Menerusi foto tersebut ramai yang memberikan komen positif tanda mereka menyokong Aidil melibatkan diri dalam dunia lakonan.
Dalam pada itu, ada juga pihak yang memberikan komen kononnya Zafuan menerima tawaran berlakon kerana ingin membayar nafkah tertunggak kepada bekas isterinya kira-kira RM100,000 itu.