SALAH satu punca kurangnya komunikasi antara pasangan suami isteri adalah kesibukan bekerja. Ada yang terlalu fokus dengan kerjaya sehingga mengabaikan rumah tangga. Gaya hidup sebegini perlu dielakkan jika ingin kekal bahagia.
Begitu juga dengan ratu rock negara, Ella yang kini sedang sibuk merangka showcase, album terbaharu dan konsert yang masih lagi dalam perangkaan.
Penyanyi manja itu mengakui sebelum dia merangka semua kerja-kerjanya, dia terlebih dahulu meminta izin suaminya, Azhar Ghazali memandangkan kesibukan kelak akan membataskan hubungan mereka. Restu sang suami diperlukan bagi melengkapkan perjalanan hari-harinya dalam segala aktiviti.
Apapun yang dilakukan, saya akan minta izin suami dan berbincang dahulu sebelum melakukannya. Tidaklah saya bertindak seorang diri sahaja.
Perkara-perkara seperti ini yang banyak saya belajar melalui perkahwinan. Bagaimana untuk membahagikan masa antara bidang kerja dan rumah tangga, itu sangat penting supaya pasangan lebih rasa dihargai," jelasnya.
Sentiasa mengikut kata suaminya untuk meletakkan keluarga terdahulu berbanding kerjaya, itu prinsip teras Ella dalam melayari kehidupan bersama sang suami.
Hendak melakukan showcase, konsert dan album baharu ini bukan mudah sebenarnya. Saya perlu masa untuk berlatih dan perkara seperti ini yang perlu diberi perhatian.
Jika saya tidak pandai membahagikan masa, nanti pasti akan benda yang terabai. Sebab itu saya berbincang terlebih dahulu dengan suami dan dia beri kebenaran, baru saya akan setuju untuk terlibat dengan hal-hal ini semua," jelasnya.
Bagi Ella sendiri, berbincang penting sebenarnya dalam kehidupan berumah tangga supaya kita faham dengan situasi yang timbul agar tidak ada yang salah sangka.
Macam saya dan suami, jika ada masa terluang sahaja, kita akan luangkan masa bersama, berborak-borak dan bercerita tentang hal masing-masing.
Ketika itu juga kita berbincang tentang banyak perkara. Ini supaya kita boleh saling berpesan antara satu sama lain supaya hubungan menjadi lebih positif dari hari ke hari," jelas pelantun lagu Rama-Rama ini.
Memang benar jika dilihat kerjaya Ella kini, dia bakal membuat kemunculan semula di pentas nyanyian melalui showcase dan konsertnya yang akan datang.
Pastinya semua itu memerlukan komitmen daripada segi masa dan fokus untuk menjayakan sebuah showcase, apatah lagi sebuah konsert.
Ketika diminta mengulas tentang konsep albumnya itu, jelas Ella, ini memang sesuatu yang ditunggu-tunggu dan dia juga dapat merasakan perasaan yang sama dikongsi dengan peminat.
Album ini memang penuh dengan eleman Ella. Saya fikir rasanya peminat boleh jangka sesuatu daripada album tersebut. Dan saya sendiri sebenarnya masih berdebar dengan album itu," jelasnya.
Jelas Ella lagi, lagu-lagu dalam album terbaharunya nanti juga berbeza dengan lagu sebelum ini dan banyak memberi manfaat jika diamati bait-bait liriknya. Lirik yang memberi lebih makna kepada erti kehidupan dititik beratkan dalam lirik-lirik lagu berkaitan.
Memang album kali ini sesuai untuk semua peringkat kerana ia sebuah album yang banyak memberi nasihat dan manfaat kepada semua. Lirik-lirik yang cukup positif, sesuai dengan apa yang saya sendiri ingin sampaikan kepada peminat-peminat," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, jelas Ella, dia juga buat pertama kalinya setelah berpuluh tahun dalam industri seni akan mengeluarkan sebuah lagu raya.
Syawal tahun ini, lagu raya pertama saya akan keluar dan saya sangat teruja kerana saya sudah lama mengimpikan untuk menyanyikan sebuah lagu raya sendiri.
Sebenarnya sudah lama saya menunggu peluang merakamkan lagu hari raya sendiri, tetapi belum ada rezeki. Sehinggalah sekarang peluang itu datang, jadi saya terus setuju dan memberikan sepenuh bekerjasama untuk merakamkan lagu tersebut," jelasnya yang lebih banyak berahsia apabila diminta mengulas lanjut mengenai komposer dan penulis lirik yang terbabit. Barangkali banyak kejutan yang mahu ditampilkan, kita tunggu saja nanti.
Bakal mengadakan showcase pada 22 Jun depan bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, jelas Ella, pada malam itu, dia akan hiburkan penonton dengan gaya rock, tetapi kekal dalam imej tersendiri.
Sekarang ini masih lagi berlatih dan pada malam itu, sebanyak lapan buah lagu akan dinyanyikan termasuk dua daripada album baharu saya yang berjudul Istimewah dan Risalah Cinta," jelasnya.
Persembahannya akan berlangsung selama satu jam dan dia akan diiringi oleh sebuah kumpulan rock baharu, Sparrow King.
Memilih Sparrow King sebagai pengiring muziknya pada malam itu sedangkan ada kumpulan rock yang lebih berpengalaman, jelas Ella, ia adalah untuk meneruskan legasi pemuzik rock tempatan.
Saya menjadikan diri dan pengalaman sendiri untuk membantu menaikkan dan meneruskan legasi pemuzik rock tempatan.
Lagipun, kumpulan Sparrow King juga dianggotai oleh individu yang sebenarnya hebat dalam bidang muzik. Mereka boleh bawakan apa sahaja jenis muzik.
Jadi mudah untuk saya dan mereka membuat persembahan bersama. Mereka adalah pemuzik yang berilmu dan itu yang penting sebenarnya. Saya berkongsi dengan mereka kerana mereka memang ada kualiti tersendiri, hebat dan boleh pergi dengan lebih jauh lagi pada masa depan," jelasnya.
Selain showcase, Ella juga dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert pada bulan Ogos depan dan lokasinya berkemungkinan akan diadakan di Johor Bharu.
Saya belum menetapkan lokasi lagi kerana konsert ini masih lagi dalam perancangan daripada segi logistik. Kita masih lagi melihat di mana ada permintaan tinggi, dan kita akan lakukan di situ," jelasnya.
Tambahnya, belum ada keputusan tepat daripada segi lokasi tetapi kemungkinan besar ia akan dilakukan di lokasi tertutup dan bukannya secara terbuka.
Memang kalau ikutkan saya sedang sibuk dengan album baharu dan perancangan konsert. Masa itu memang padat dengan latihan dan persiapan. Nasib baik suami memberi sokongan dan kami saling bertolak ansur antara satu sama lain daripada segi masa sekarang ini," jelasnya.
Menyambung bicaranya tentang showcasenya nanti, dua lagu baharu yang bakal dinyanyikan itu memang ditujukan khas buat peminat yang hadir malam persembahan.
Dua lagu baharu itu akan diperdengarkan secara rasmi semasa persembahan saya pada 22 Jun nanti khas buat peminat. Lagu itu juga belum keluar di radio lagi.
Memang persembahan pada malam itu khas buat peminat malah, mereka juga berpeluang untuk mendapatkan cenderamata Ella yang akan dijual pada malam itu juga," jelasnya.
Tiket bagi showcase Ella nanti berharga RM 40 termasuk dengan minuman.
Bagi Ella sendiri, memang dia teruja dengan persembahannya nanti setelah sekian lama tidak bertemu dengan peminat, tetapi dia lebih teruja untuk menantikan maklum balas daripada mereka tentang album baharunya.
ELLA sering berbincang dengan suami sebelum terlibat dengan sebarang agenda seninya.
KERJASAMA dengan kumpulan Sparrow King yang belum begitu terkenal juga memberi ilmu baru buat Ella.