Faralyna kawal ego


BERSEDIA melangkah ke alam rumah tangga selepas bertemu dengan Fikri.

SATU perubahan besar bakal berlaku dalam hidup pelakon, Faralyna Idris kerana pada penghujung tahun ini dia bakal melangkah ke alam rumah tangga. Wanita berusia 23 tahun ini akan melangkah ke gerbang perkahwinan setelah dua tahun mengenal hati budi tunangannya.

Memilih Muhammad Fikri Abdullah, 24, jejaka asal Kedah sebagai teman hidup, Faralyna yang mula menghiasi kaca televisyen melalui drama remaja popular, Kisah Kaisara nyata tidak dapat menyembunyikan debarannya untuk bergelar seorang isteri.

Pertunangan bersama lelaki pilihan di kediaman ibu saudaranya di Ampang, Selangor 31 Mei lalu menjadi titik permulaan dalam hidup bintang kelahiran Taiping, Perak ini.

Ternyata sesi fotografi yang diatur diisi penuh dengan kisah hidup dan juga majlis perkahwinan yang bakal berlangsung.

“Sebenarnya, saya dan Fikri tidak merancang untuk berkahwin pada usia sebegini. Mungkin orang anggap ia terlalu muda bagi kami.

“Saya tidak sangka usikan arwah ibu kepada Fikri sekitar akhir tahun lalu menjadi nyata. Semasa arwah ibu Fikri dimasukkan ke hospital, saya sering melawatnya. Suatu hari, dia mengusik saya mengatakan mungkin sayalah orang pilihan Fikri. Dia (arwah ibu Fikri) sering bergurau supaya menjaga Fikri dengan baik.

“Selang dua bulan selepas pemergian ibu Fikri dengan berani Fikri meluahkan hasrat untuk meminang saya. Dia (Fikri) asyik mengajak saya berkahwin sekitar Februari lalu.

“Pada mulanya saya tidak sangka dan agak terkejut dengan permintaan Fikri itu. Lama-lama baru saya terfikir mungkin itu yang orang panggil jodoh," katanya.

Mengaku tidak pernah dilamar oleh tunangnya sebagai kekasih sebelum ini, Faralyna mengatakan dia senang berkawan dengan Fikri yang dianggap sebagai lelaki paling rapat dengannya selain bapa, Md. Idris Osman.

“Untuk dijadikan cerita, saya hanya mengenali bakal suami sekadar kawan dan tidak pernah mengaku bercinta dengan serius.

“Apabila sudah lama berkawan, saya dapat rasakan keserasian antara kami dan dari situ timbul rasa sayang.

“Saya juga terpegun melihat sikap tanggungjawabnya sebagai abang sulung kepada tiga beradik dalam membantu menguruskan keluarga.

“Sikap itu membuatkan saya menjadi lebih yakin dengan dia (tunang) sebagai yang terbaik buat saya," jelas anak kedua daripada tiga beradik ini.






Majlis sederhana

Faralyna berkata, perkahwinan bukan perkara main-main kerana sekali melangkah ke fasa itu, baik si suami dan si isteri, kedua-duanya memegang amanah dan tanggungjawab.

“Majlis perkahwinan kami nanti tidak akan diadakan secara besar-besaran. Apa yang penting kehidupan kami selepas itu.

“Bergelar seorang isteri memang banyak tanggungjawabnya. Banyak juga cabarannya kalau nak dibandingkan dengan hidup sendiri.

“Sebab itu, kami tidak memilih untuk mengikat tali pertunangan ini terlalu lama. Persiapan kami dan perancangan ke alam perkahwinan juga sedang dilakukan," ujarnya.

Meskipun tahu, kehidupannya selepas bergelar isteri selepas ini mungkin tidak akan sama seperti zaman bujangnya, namun dia sudah cukup bersedia.

“Bila kita dah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, itu sekali gus memberi makna yang kita sedia untuk pikul tanggungjawab.

“Sebenarnya, bagi saya, nikmat berumah tangga itu sangat indah bagi seorang wanita jika kita berada di landasan yang betul," beritahu Faralyna.

Biarpun urusan majlis pertunangan dan perkahwinan mereka tanpa ada insan penting yang melahirkannya ke dunia, Faralyna bersyukur kerana masih ada lagi ibu saudara dan adik-beradik yang membantu.

“Untuk majlis ini kami sepakat agar semuanya diuruskan secara bersama. Nasib baik tunang faham dengan jadual kerja saya yang tidak menentu. Kalau tidak, huru-hara juga hidup saya.

“Kalaulah ibu kami masih ada, mesti mereka yang paling sibuk. Tapi, ibu saya dan Fikri lebih cepat menghadap Ilahi," ucapnya penuh sayu, yang kehilangan ibu ketika usia 16 tahun.

Belajar kawal ego

Satu yang perlu anda tahu mengenai Faralyna, dia adalah seorang wanita yang mempunyai sifat ego yang tinggi.

Sudah hidup sendirian selepas ibu, Jalaliah Ismail meninggal dunia pada 2007 akibat kanser ovari, Faralyna turut mengaku yang dia sebenarnya agak sombong dan pentingkan diri sendiri.

“Dulu pun ayah tidak suka sangat saya berlakon. Dia mahu saya jadi juruterbang. Itu pun cita-cita saya sebenarnya memandangkan saya seorang yang suka mengembara.

“Selepas ibu meninggal, saya pernah tinggal dengan abang, Mohd. Farid, 29, tetapi selepas itu ambil keputusan untuk tinggal sendiri. Saya mahu hidup bebas.

“Mungkin selepas ini, saya akan belajar kawal semua sikap yang saya ada itu. Saya sudah bekerja sejak belasan tahun. Saya sudah tahu betapa sukarnya kehidupan itu," katanya.
Previous Post Next Post