Awie Anak-anak Harta Saya Dunia Dan Akhirat



Penyanyi dan pelakon, Awie mengakui anak-anak merupakan pemangkin buat dirinya untuk terus bekerja keras mencari rezeki disaat dia mengharungi pelbagai ujian dan dugaan termasuk masalah rumah tangga yang dihadapinya.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Bin Othman, pada mulanya dia menolak pelbagai tawaran kerja selepas menghadapi kemelut rumah tangga namun dia bangkit demi anak-anak tercinta.






"Ya memang pada awalnya memang banyak tawaran kerja yang saya tolak tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur buat Allah SWT kerana saya diberi kekuatan untuk terus menghadapi dugaan yang menimpa diri saya.

"Anak-anak merupakan pemangkin buat saya untuk terus bekerja keras dan saya tida mahu mereka menghadapi kesusahan di waktu zaman saya muda-muda dahulu. Mereka adalah harta saya dunia dan akhirat. Tanpa anak-anak di sisi saya akan mati," ujar Awie ketika ditemui majlis sidang media Supermokh Restaging di Istana Budaya.

Tambah Awie lagi, harta yang dimiliknya sekarang adalah untuk anak-anaknya dan dia lebih rela melihat anak-anak membesar di depan matanya.

"Saya sudah tidak kisah jika masyarakat mahu tuduh saya itu ini, tetapi anak-anak adalah keutamaan saya. harta yang saya miliki sekarang adalah hak mereka. Saya mahu lihat mereka membesar di depan mata saya," jelas Awie lagi.

Malah pada awalnya Awie mengakui agak tertekan dengan keadaan yang menimpa dirinya sehingga nekad untuk memulakan kehidupan baru dengan menguruskan perniagaan.




"Saya memang tertekan pada waktu itu, saya tolak pelbagai tawaran kerja yang bagus terutamanya teater Supermokh ini kerana saya patah semangat dan tidak mahu imej buruk saya terkena tempias kepada mereka.

"Tetapi selepas dipujuk beberapa kali oleh penerbit juga rakan baik saya, Hans Isaac, akhirnya saya bersetuju untuk menerima tawaran lakonan olehnya," tambah Awie lagi.

Teater Supermokh Restaging akan mula berlangsung dari 8 September hingga 21 September depan yang mengisahkan kehidupan bintang bola sepak legenda, Mokhtar Dahari.Selain Awie, ianya turut dibintangi oleh Maya Karin, Douglas Lim, Dina Nadzir, Rashidi Ishak, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Previous Post Next Post