Psiko sandaran Gamatisme



BARISAN pelakon filem Gamatisme (dari kiri) Syazwan Zulkifli, Adeline Tsen dan Bubu. Filem ini dijangka memasuki pawagam selewat-lewatnya awal tahun depan.

SELEPAS menghasilkan filem Aku Ada Kau Ada? dan Tokan, penerbit wanita, Datuk Ayu Puteh belum mengaku kalah untuk terus berkecimpung dalam arena perfileman tempatan.

Kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Gamatisme, filem berkenaan menggandingkan Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli sebagai percaturan filem ketiganya.

Kali ini, Normashayu Puteh atau lebih dikenali sebagai Ayu Puteh bangkit daripada kegagalan filem keduanya Tokan yang terpalit masalah teknikal. Kesilapan itu menyebabkan sebilangan panggung menghentikan tayangan Tokan lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya.

Kegagalan Tokan yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu tidak membuatkan Ayu Puteh berputus asa. Dia akan terus berkarya dalam industri seni kreatif walaupun dua filem terbitannya gagal mendapat sambutan.

"Selepas insiden itu saya menimba banyak pengalaman untuk mempersiapkan diri agar lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan.

"Biarpun perit tetapi saya percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Sebelum ini kami menggunakan khidmat pengedar filem. Kali ini saya mahu mengedarkan sendiri filem Gamatisme yang bakal menjengah pawagam selewat-lewatnya awal tahun depan" ujar Ayu Puteh.

Pemilik syarikat produksi Pencil Pictures Sdn. Bhd. itu berkata, Gamatisme mempunyai genre berbeza berbanding filem terbitannya sebelum ini.

Menjalani penggambaran pada Mei lalu, Gamatisme menampilkan genre psiko dan seram.

Filem seram mahal

"Pada mulanya saya bercadang untuk menghasilkan filem seram tentang hantu pontianak tetapi selepas menilai dan mengambil kira kos produksi, saya akhirnya terpaksa melupakan hajat itu.

"Tambahan pula, untuk menerbitkan filem seram bukannya mudah. Terus terang saya katakan saya belum mampu untuk menerbitkan filem seram sebegitu kerana ia memerlukan kos yang besar selain aspek teknikal dan solekan.

"Saya percaya Gamatisme akan membawa penonton menyelusuri perjalanan hidup seorang individu yang mengalami masalah kejiwaan yang menyeramkan. Filem ini memerlukan penonton untuk berfikir dan menghayati plot yang cuba disampaikan," kata Ayu Puteh sambil memberitahu Gamatisme telah menelan belanja sebanyak RM1.5 juta.


BARISAN pelakon utama yang membintangi filem Aku Ada Kau Ada? (dari kiri) Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Kamal Adli.

Dilema penjualan tiket filem Melayu turut membantutkan syarikat mengeluarkan bajet yang besar terhadap pembikinan sesebuah filem.

"Saya hanya mampu keluarkan bajet sebanyak RM1.5 juta kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk saya mengeluarkan bajet besar.

"Kalau diikutkan, bajet RM1.5 juta itu merupakan satu angka yang besar untuk kos pembikinan filem. Tetapi saya sengaja keluarkan bajet yang sebegitu kerana setiap peralatan dan kumpulan yang bekerja dalam filem terbitan saya merupakan tenaga mahir dalam bidang filem bukannya drama," jelas Ayu Puteh.

Filem baharu arahan Yeop Hitler itu mengisahkan empat orang sahabat karib iaitu Haris, Daniel, Reen dan Jojo yang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta dalam bidang kesenian.

Di hostel, mereka sering dihantui gangguan misteri sejak kehadiran seorang pelajar baharu bernama Zara, lakonan Nabila Huda. Kisah misteri itu turut menyelubungi hidup Zara apabila dia selalu mengalami mimpi aneh dan sering diganggu bayangan seorang wanita mengandung bersama bayinya.

Lakon adegan ranjang

Secara tidak langsung, Zara bertukar menjadi seorang yang murung. Namun, dia selalu dibantu oleh Haris (lakonan Syazwan Zulkifl). Haris sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Zara.

Sehingga pada suatu malam, sahabat karib mereka, Jojo mati dalam keadaan mengerikan di dalam bilik air. Mayat Jojo masih dalam siasatan pihak polis dan hampir semua pelajar meninggalkan kolej tersebut demi keselamatan. Selepas itu, Reen menjadi korban kedua.

Secara keseluruhan, Gamatisme ialah sebuah naskhah yang berbeza. Perkara itu turut diakui oleh Adeline Tsen yang memegang karakter sebagai Reen.

Menyifatkan Gamastisme merupakan filem yang unik dan mencabar, peluang kerjasama dengan pelakon-pelakon senior turut membuatkan Adeline berasa gemuruh.

"Nabila Huda merupakan idola saya dalam dunia lakonan. Walaupun pada mulanya saya agak gemuruh berlakon dengannya, namun berkat tunjuk ajar yang diberikan membuatkan saya menjadi lebih semangat untuk bekerjasama lagi.


ADELINE TSEN memegang dua karakter berbeza dalam filem terbaharu lakonannya, Gamatisme.

"Selain itu, cabaran paling besar yang saya rasai ketika membintangi filem ini ialah ketika melakonkan adegan ranjang bersama teman lelaki, Daniel yang dilakonkan oleh Wan Elias.

Lelaki gay

"Sejujurnya saya agak kekok untuk melakonkan adegan tersebut, namun saya bersyukur kerana mendapat pasangan yang berfikiran terbuka. Kami akhirnya mendapat keserasian dan perjalanan penggambaran berjalan dengan lancar," kata Adeline yang memegang dua karakter berbeza dalam filem itu.

Sementara itu, berada sebaris dalam kalangan nama-nama popular, kemunculan Bubu yang baru kali pertama menonjolkan bakat dalam dunia perfileman membuatkan dirinya berasa sangat teruja.

Siapa sangka Bubu yang pada pulanya hanyalah seorang pengacara program hiburan 1News (RTM) diberi kepercayaan untuk membintangi filem tersebut.

"Terkejut apabila Ayu Puteh menawarkan saya untuk membintangi filem Gamatisme.

"Ini adalah titik permulaan untuk saya melangkah lebih jauh dalam industri seni lakonan. Namun apa yang membimbangkan saya ialah watak lelaki gay yang saya lakonkan. Saya bimbangkan reaksi negatif daripada orang ramai.

"Kepercayaan Ayu terhadap diri saya membuatkan saya cuba mendalami ilmu lakonan kerana saya langsung tidak tahu apa-apa tentang lakonan melainkan bekerja di hadapan kamera dan fotografi bersama selebriti," jelas Bubu yang memegang karakter sebagai Jojo menerusi filem tersebut.


Previous Post Next Post