Nazim Othman syok sendiri?



TINDAKAN aktor Nazim Othman yang sering memuat naik status serta gambarnya di Facebook, Twitter dan Instagram menyebabkan dirinya di cop syok sendiri oleh pengguna laman sosial berkenaan.

Bukan itu saja, teraju utama drama bersiri Kalimah Jiwa itu turut tidak terkecuali dalam menjadi sasaran utama pengkritik.

Enggan mengambil pusing, Nazim memberitahu, dia kini bersifat lebih matang dalam menangani hal tersebut seiring dengan pertambahan usianya kini.

Kata pelakon berusia 31 tahun ini, dia semakin memahami dengan sikap segelintir masyarakat yang suka mengkritik tanpa mengenali seseorang itu.




"Kalau provokasi sebegitu datang ketika saya berusia 25 tahun, mungkin saya akan melenting dan cepat marah. Bohong kalau saya katakan saya tidak bengang bila dapat komen negatif seperti itu.

"Tapi, saya tidak terlalu melayan setiap komen tersebut kerana orang yang memberi komen itu tidak kenal diri saya secara peribadi.

"Lainlah kalau pihak yang komen itu dalam kalangan mereka yang betul-betul rapat dengan saya. Jika begitu, saya memang akan ambil hati terhadap individu terbabit," katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah pelakon drama Gerimis Salji Namira, lumrah menjadi selebriti apabila segala gerak geri dan tingkah laku menjadi tumpuan umum.

"Saya tidak menolak mentah-mentah setiap kritikan itu.

"Lagipun, jika tiada yang membidas, kita akan sentiasa berada di zon selesa tanpa mahu berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik,” katanya.

Begitu pun, akui Nazim, dia tetap mengambil pendekatan menyekat mana-mana akaun pengikut-pengikutnya sekiranya mereka memberi komen yang agak keterlaluan.

Dalam perkembangan lain, Nazim dan dua selebriti lain iaitu Kevin Zahri dan Zul Ariffin dipilih sebagai produk Nivea Men Cool Kick Deodorant.

Nazim yang teruja menerima peluang itu, memberitahu dia adalah seorang yang gemar menggunakan produk penjagaan diri.

"Memang dari zaman sekolah lagi, saya seorang yang sangat menitikberatkan mengenai penjagaan diri termasuklah wajah.

"Kerana itu mungkin pihak Nivea melihat saya boleh bercakap mengenai produk mereka," katanya yang akan kembali sibuk di set penggambaran bermula Februari nanti.



Previous Post Next Post