AEPUL dan Leez akan berbulan madu di Pulau Redang.
Sejak pertemuan pertama pada 2012, penyanyi Drama Band, Aepul dan pelakon Leez tidak menyangka itu adalah jodoh mereka.
Mereka akhirnya disatukan sebagai suami isteri dalam majlis pernikahan yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat di Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur pada 27 Disember lalu.
Disebabkan sibuk dengan karier masing-masing, majlis persandingan hanya dapat diadakan kelmarin di Bukit Mahkota, Bangi.
Cukup bersederhana, pasangan itu indah dalam persalinan berona biru.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli, 27, berkata, persiapannya agak memeningkan namun dia gembira segala-galanya berjalan lancar.
“Lama juga kami mencari tarikh sesuai untuk majlis ini kerana selepas bernikah, saya dan Aepul kembali sibuk. Begitu juga dengan ahli keluarga lain masing-masing ada agenda lain lantas majlisnya tertangguh sedikit.
“Apapun, seronoknya, keluarga yang menguruskan serba-serbi dan kebetulan ada juga yang ditaja,” katanya.
Leez tak sabar jadi ibu
Berkongsi kisah cinta mereka, Aepul atau nama sebenarnya Noorsyaiful Md Zalaludin, 27, berkata, pertama kali bersua dengan Leez, dia memiliki tanggapan Leez seorang yang sombong.
“Waktu itu kami menjayakan satu program ke Johor. Sebaik memasuki van, Leez terus tidur. Bagaimanapun, semakin mengenalinya, saya nampak dia seorang yang sangat baik hatinya.
“Leez seorang yang menghormati orang tua dan sesiapa saja. Saya dapat rasakan dalamannya memang sangat baik dan waktu itu saya terfikir dia calon isteri yang sesuai,” katanya.
Bagi Leez pula, Aepul seorang lelaki yang sangat berbeza di mana banyak kriterianya membuatkan dia tertawan.
“Walaupun dia agak kasar, tetapi romantik. Selain itu, paling saya suka dia penasihat yang sangat bagus.
“Setiap kali ada masalah, saya akan berbincang serta meminta nasihatnya dan dia akan memberi pendapat yang benar-benar berguna,” katanya.
Bakal berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu, menurut Leez lagi, ada alasan mereka memilih destinasi itu.
Soal cahaya mata, mereka serahkan kepada rezeki namun lebih cepat, lebih bagus.
“Kami pilih Pulau Redang kerana ada kenangan saya dan Aepul yang kebetulan dipertemukan di sana tidak lama dulu. Jadi, kami mahu mengimbau semula kenangan itu.
“Menyentuh soal anak, saya sejujurnya tidak sabar mahu menimang cahaya mata dan bergelar ibu. Apapun, kami serahkan kepada Allah Dapat cepat pun lagi suka,” katanya.
Turut hadir di majlis berkenaan Zarul Umbrella dan Idzham Ismail. Drama Band juga tidak ketinggalan menghiburkan jemputan dengan pilihan lagu-lagu menarik.
PENGANTIN bersama ibu bapa
MEMPELAI bersama keluarga masing-masing.