Cili api rahsia vokal hebat Cakra Khan



Baru dua tahun meraih populariti dan menawan peminat sebagai penyanyi, Cakra ternyata seorang yang matang dan bijak berinteraksi dan menawan hati peminatnya.

Malam Sabtu lalu, penyanyi kelahiran seberang, Cakra Khan telah menggegarkan Mega View Banquet Hall, Menara Kuala Lumpur dengan persembahan Sky Gateway Cakra Khan @ KL Tower yang berlangsung dengan jayanya.

Meskipun muncul sekitar pukul 9.55 malam, lewat 20 minit daripada jadual, Cakra mempamerkan persembahan yang disifatkan cukup menghiburkan. Mendendangkan sebanyak 15 buah lagu, Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, bagaimanapun menarik perhatian penonton apabila meminta semangkuk cili api dan memakannya begitu sahaja di atas pentas.

Bukan gimik atau cuba beraksi lucu, jelas Cakra yang ditemui usai persembahannya, makanan pedas termasuk cili api merupakan rahsia untuk menjaga kualiti vokalnya. Justeru, pemuda berusia 24 tahun itu tidak boleh berpisah dengan makanan pedas di mana sahaja dia berada.


“Saya makan cili api untuk mendapatkan vokal yang sedap. Mungkin untuk orang lain, petua ini kedengaran pelik, tetapi tidak untuk saya. Setiap kali saya berasa ada yang tidak kena dengan vokal, saya akan makan cili api atau makanan pedas untuk mendapatkan suara yang bagus,” katanya.

Tambah Cakra, petua tersebut telah diamalkan sejak kecil. Sudah menjadi kebiasaan baginya, memakan makanan pedas meskipun tidak menyanyi.

“Sejak kecil lagi saya sudah terbiasa dengan makanan pedas. Alhamdulillah, setakat hari ini saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kerana banyak makan cili,” tuturnya.

Menyorot perkembangan kariernya di Malaysia, Cakra yang bermula di pentas dangdut itu mengaku, Malaysia sudah ibarat rumah keduanya kerana kerap menerima undangan pentas di sini. Disebabkan penerimaan positif peminat Malaysia, sudah tidak terhitung lagi jumlah persembahan yang telah dijayakan Cakra di Kuala Lumpur.

“Sejak bergelar penyanyi, saya tidak sangka akan melebarkan sayap di luar negara, apatah lagi mempunyai ramai peminat di Malaysia. Memang saya terlalu kerap berkunjung ke Malaysia. Jika tidak kerana promosi lagu, saya diundang membuat persembahan. Saya antara penyanyi yang bertuah dan bersyukur dengan sambutan peminat di sini,” luahnya.

Beralih bicara kepada persembahannya di Menara Kuala Lumpur, Cakra dilihat lebih banyak menyanyikan lagu penyanyi lain berbanding lagunya sendiri. Jika dihitung, daripada 15 buah lagu yang dinyanyikan, hanya empat buah lagu merupakan lagunya sendiri iaitu Harus Terpisah, Setelah Kau Tiada, Seluruh Cinta dan Mengingat Dia.

Bagaimanapun menurut Cakra, dia bukannya tidak yakin untuk menyanyikan lagu sendiri daripada album pertama yang berjudul Cakra Khan. Alasan Cakra, pihak pengurusan tidak membenarkannya menyanyikan lagu lain selain daripada single yang telah dilancarkan.

“Kesemua lagu dalam album pertama saya akan dikeluarkan sebagai single. Jadi, saya tidak boleh menyanyikan sebarang lagu tanpa kebenaran pihak pengurusan. Mereka mempunyai strategi mempromosikan album tersebut.

“Lagu-lagu penyanyi lain yang saya pilih seperti Lelaki Ini nyanyian Anuar Zain), Bukan Dia Tapi Aku (Judika), Stay With Me (Sam Smith), Lay Me Down (Sam Smith) dan Chandelier (Sia) merupakan lagu kegemaran saya. Kebetulan semua lagu tersebut sesuai dengan emosi saya ketika ini,” ujarnya.

Gemar bercanda sepanjang persembahan berlangsung, Cakra bijak berjenaka untuk menghilangkan perasaan gementar di atas pentas.

Bukan tidak menghormati majlis, baginya, lawak jenaka dapat merapatkan hubungan dengan peminat yang menyaksikan persembahan tersebut.

“Jika menjayakan persembahan, saya tidak suka serius kerana nanti penonton bosan. Bagi menghidupkan suasana santai, saya sering menggunakan lawak jenaka dan rasanya semua terhibur,” katanya.

Sempat menyampaikan lagu Menghitung Hari berduet dengan penyanyi Bob dan Seluruh Cinta dengan Syahrini, mengikut perancangan, Cakra hanya perlu menyanyikan 10 buah lagu. Bagaimanapun, atas permintaan peminat, dia telah menambah lima buah lagu tanpa dirancang, antaranya lagu Kopi Dangdut.

“Saya terlalu gembira melihat sambutan yang diberikan peminat dan dengan rela hati memenuhi permintaan mereka. Jika tiada aral melintang saya akan kembali ke Malaysia kerana album kedua dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi,” tutupnya.

Previous Post Next Post