Hamil, Fouziah Gous tetap aktif



MESKIPUN sibuk menempa nama dalam bidang pengacaraan, Fouziah giat mempromosikan produk minuman kesihatan keluarannya, My Walet Bird Nest di Instagram.

SEJAK kebelakangan ini, dunia hiburan dirancakkan dengan banyak khabar gembira, khususnya artis wanita yang baru kali pertama hamil.

Selain pelakon Erin Malek, Faralyna Idris dan Lisa Surihani, pelakon jelita yang sedang rancak menempa nama sebagai pengacara televisyen, Fouziah Gous turut berkongsi berita bahagia apabila disahkan sedang hamil anak pertama.

Mendirikan rumah tangga dengan Md. Zhafzan Md. Yusof, 33, pada tanggal 21 September 2013, Fouziah, 33, mengakui, lebih selesa mengambil langkah berehat daripada dunia lakonan buat seketika.

Kata Fouziah, fokusnya kini terarah kepada bidang pengacaraan dan perniagaan. Baru pulang daripada percutian bersama suami di Vienna, Austria, Fouziah ternyata teruja saat berkongsi cerita kehamilannya yang kini memasuki usia dua bulan.

Berpeluang bertemu dengan pengacara rancangan Nona itu pada pertunjukan fesyen jenama Cosry di ibu kota baru-baru ini, Kosmo! sempat mengintai rutin harian bakal ibu yang sedang menikmati saat bahagia hamil anak pertama itu.


Artis Meletop!: Tahniah di atas kehamilan anda. Sejak bila sebenarnya Fouziah menyedari tentang khabar gembira itu?

Fouziah: Terima kasih. Saya mengetahuinya sebelum pergi bercuti ke Vienna bersama suami. Ketika itu kandungan baru berusia tujuh minggu. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang masalah, malah masih aktif melakukan aktiviti riadah dan senaman seperti biasa. Berita gembira ini juga menjadikan saya lebih fokus kepada keluarga, perniagaan dan tugas sebagai pengacara. Tidak dinafikan, kadangkala saya mengalami rasa sakit pada bahagian perut, tetapi jangan bimbang kerana semuanya dalam keadaan baik. Kesakitan itu kemungkinan disebabkan oleh keletihan kerana terlalu aktif.

Biarpun mengetahui sedang hamil, namun anda kekal melakukan aktiviti senaman. Tidakkah anda berasa bimbang sekiranya berlaku sesuatu sehingga menjejaskan kandungan?

Pada awal kehamilan, saya masih melakukan rutin senaman seperti biasa sehingga disahkan doktor kandungan sudah berusia tujuh minggu. Tidak dinafikan saya sendiri berasa bimbang sebaik sahaja mengetahui perkara itu, namun setelah mendapat nasihat doktor, semuanya menjadi lebih baik. Doktor menjelaskan, sekiranya sebelum ini saya menjalani kehidupan aktif, tidak menjadi masalah sekiranya rutin tersebut diteruskan. Tambahan pula, segalanya bergantung kepada rezeki dan kuasa Tuhan.

Setelah disahkan hamil, adakah anda ada mengamalkan sebarang pengambilan makanan tambahan?

Saya hanya mengamalkan minum minuman sarang burung walet, My Walet Bird Nest iaitu produk keluaran saya sendiri. Selain itu, saya dinasihatkan mengambil ubat-ubatan yang diberikan doktor.

Sejak kebelakangan ini, kerjaya anda sebagai pelakon agak perlahan berbanding pengacara. Mengapa?

Buat masa sekarang, saya lebih selesa berehat daripada melakukan aktiviti lakonan dan hanya melakukan sekadar yang termampu kerana ingin memberi fokus kepada bidang pengacaraan. Memandangkan tugas tersebut masih baharu, banyak perkara yang perlu saya pelajari agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik.


GAMBAR Fouziah bersama suami, Zhafran ketika bercuti di Vienna, Austria yang dimuat naik ke akaun Instagramnya baru-baru ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan berehat daripada aktiviti lakonan? Adakah anda akan berhenti berlakon sepanjang tempoh kehamilan atau sememangnya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya lakonan?

Bukan itu maksud saya. Seperti yang dikatakan, buat masa ini, saya hanya ingin memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan. Ia sekali gus membuatkan saya ingin menghadkan aktiviti lakonan kerana bimbang, sekiranya dilabelkan tamak memandangkan kini sibuk dengan pengacaraan dan perniagaan.

Beralih kepada soal pengacaraan, bagaimanakah penerimaan penonton terhadap percubaan pertama anda bergelar pengacara Nona?

Menerima kritikan itu sudah menjadi lumrah, memandangkan saya masih baharu dalam bidang ini. Peminat selalunya akan memberi komen menerusi laman sosial terutama di Instagram. Namun, saya tetap positif menerima kritikan kerana daripada situ dapat membantu dalam usaha memperbaiki mutu pengacaraan.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Nona tentunya terlibat dengan penggambaran, tidakkah anda berasa terganggu untuk menjalankan tugas ketika sedang hamil?

Bagi saya, hamil tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bekerja. Saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan produksi yang bertimbang rasa.

Memandangkan saya telah memecah tradisi rancangan tersebut apabila buat pertama kali pihak produksi bekerjasama dengan hos yang sedang mengandung, kebanyakan sesi rakaman dan penggambaran akan dilakukan lebih awal sementara kandungan masih awal.

FOUZIAH kini fokus kepada bidang pengacaraan dan memperlahankan kerjaya lakonan sepanjang tempoh kehamilan.

MESKIPUN sibuk menempa nama dalam bidang pengacaraan, Fouziah giat mempromosikan produk minuman kesihatan keluarannya, My Walet Bird Nest di Instagram.

Previous Post Next Post