SELEPAS menang program realiti Qu Putih Bintang Bersama Bintang, rezeki kumpulan Chilok terutama Achok nampaknya semakin banyak menerima tawaran sebagai artis solo.
Namun, walaupun mendapat banyak tawaran, Achok atau nama sebenarnya Mohd Ilham Rusdi tidak pernah membelakangkan rakannya, Chiwan.
Pelawak yang berusia 25 tahun ini memberitahu yang semua projek solonya akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Chiwan untuk mengelak salah faham.
“Apabila saya mendapat tawaran kerja, saya akan bagi tahu Chiwan dan saya juga akan cadangkan namanya untuk bersama namun, rezeki masing-masing berbeza.
“Tetapi alhamdulillah, dia faham dan walaupun saya melakukan projek solo, tetapi saya tetap membawa nama kumpulan Chilok bersama, bukan menggunakan nama sendiri sahaja,” katanya pada sidang media rancangan Misi Mr X: Lari terbitan TV9.
Chilok sebelum ini menggunakan nama Ermmmm ketika dalam program Bintang Mencari Bintang namun, menukar kepada Chilok dalam Qu Putih Bintang Bersama Bintang.
“Selepas kami menang dalam Qu Putih Bintang Bersama Bintang, nama Chilok lebih dikenali.
“Orang juga lebih mengenali Chilok berbanding nama Ermmm. Bukan kerana tidak terkenal tetapi mungkin kerana sukar untuk menyebutnya, jadi kami senang dengan nama Chilok.
“Kami akan kekal dengan nama Chilok dan ke mana sahaja pasti di belakang nama kami akan tetap ada nama Chilok,” katanya.
Selain baru selesai dalam misi penyiasatan program Misi Mr X; Lari itu, Achok berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Pengembaraan Jason Murad dan sedang menjayakan program Kaki Bola Extra Time.