Sara Ali tinggalkan dunia lakonan?


SELEPAS lima tahun aktif menjalani dunia lakonan, kini aktres Sara Ali yakin melangkah satu tapak bergelar sebagai pengarah.

Atas dorongan teman sekeliling yang juga merupakan penggiat seni tanah air turut menjadi kekuatan buat pelakon Kami Histeria ini untuk membuka cabang baharu dalam kariernya.

“Sebelum ini ada beberapa teman yang cadangkan supaya saya mengarah antaranya Jamal Khan, Khir Rahman, Sabri Yunus, Lina Tan dan Hazo Yap, tapi tidak tahu kenapa saya tidak ambil serius tentang perkara itu.

“Tidak sangka pula semakin ramai yang beri cadangan dan menggalakkan perkara yang sama, jadi mungkin saya perlu yakin dan percaya pada diri sendiri untuk lakukannya.

“Rasanya inilah masa yang sesuai untuk saya sahut cabaran itu dan tidak salah saya mencuba.

“Insya-ALLAH, dalam masa yang terdekat ini saya akan mulakan projek pertama dengan mengarahkan sebuah filem pendek,” jelasnya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Media Prima, di Hotel Hitlon Kuala Lumpur, kelmarin.

Jarang menerima tawaran lakonan juga adalah salah satu alasan buat Sara untuk mempersiapkan dirinya dalam bidang pengarahan.

“Memang saya kurangkan lakonan untuk lebih fokus pada pengarahan, tapi itu juga tidak bermakna saya akan meninggalkan karier lakonan.

“Dari segi persediaan lain, saya memang tidak ada pembelajaran secara formal dalam bidang itu, tapi saya gunakan pengalaman selama lima tahun terlibat dalam penggambaran filem dan drama.

“Saya tidak memilih genre apa yang saya mahu arahkan tetapi cukuplah jalan cerita yang bagus dan saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.


Bakat diiktiraf

Dalam perkembangan lain, Sara yang baru saja tercalon sebagai finalis top 5 menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) menerusi filem Kami Histeria terkejut dan tidak menyangka namanya layak bersaing dengan nama besar yang lain.

“Memang terkejut sebab saya rasa kalau tercalon pun mungkin untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik.

“Alhamdulillah, kerja keras saya menghidupkan watak Bad berbaloi dan saya gembira kerana pihak juri percaya dengan bakat saya.

“Memandangkan nama lain yang tercalon bukanlah calang-calang, jadi saya tidak menaruh harapan tinggi untuk menang. Bagi saya tercalon pun sudah cukup baik,” katanya.

Selain itu, Sara bakal muncul menerusi super telefilem berjudul Beringin yang akan ditayangkan di saluran Astro pada September depan.

Previous Post Next Post