Elfira Loy Jika bercinta, bolehlah kata putus cinta



APA dosa sekeping hati seandainya ia tidak berdegup kencang tatkala menyambut lamaran perkenalan seseorang dalam kehidupan.

Bukan apa, jenuh juga memikirkan mengapa gelombang kinetik hati tidak terhasil seperti mana yang diharapkan ramai pihak.

Sedikit demi sedikit, rasa cinta itu pudar dimamah usia biar pada mulanya setiap langkah seiringan yang diatur dilihat menuju ke destinasi yang sama.

Naratif sedemikian turut menyelubungi hati aktres berbakat, Elfira Loy apabila berterusan ditebak mengenai hala tuju hubungannya bersama aktor dari Indonesia, Baim Wong.

Biar wangian doa peminat mengharapkan kedua-duanya diselimuti bahagia sampai bila-bila, sebagai tuan punya hati, ini jawapan jujur Elfira.



“Terus terang, saya sudah tidak tahu nak kata apa. Buat masa ini, tidak tahu sama ada kami mahu mengiyakan atau tidak, memandangkan masing-masing tidak tahu ada jodoh atau sebaliknya.

“Buat masa ini, kami sedang berusaha menuju ke satu peringkat, sama ada wujud sesuatu ataupun tidak. Dahulu memang rasa itu ada, cuma sekarang entahlah,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Ada sesuatu yang hilang

Sengaja mengajak pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 21, ini menyelongkar segenap inci perasaannya terhadap Baim dengan lebih mendalam.

Dengan nada tenang, Elfira mengakui cukup senang dengan rakan gandingannya dalam telefilem Untuk Terakhir Kali itu, cuma mungkin terbatas sebagai sekadar rakan biasa.

“Kami sukakan personaliti masing-masing, cuma tiada komunikasi. Saya masih tertanya-tanya sama ada ia berpunca mengenai masalah bahasa ataupun jenaka yang berbeza, ia memang sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Sejujurnya, saya lebih banyak mendiamkan diri ketika bersama dengannya, tetapi jika ada orang lain ada, baru saya petah berkata-kata. Ketika kami keluar berjalan-jalan, percikan itu juga tiada,” ceritanya lagi.

Cuma jelas Elfira, mereka ingin menjaga hubungan baik ini sampai bila-bila serta cuba mengekalkan hubungan ini atas doa ramai.

“Masing-masing sudah dewasa, dia pun sudah mula untuk mencari jodoh. Jadi, saya terangkan kepadanya bahawa hubungan ini tidak akan berjaya.

“Kami berkawan sejak dahulu dan ia harus kekal seperti itu. Tidak tahu sam ada rasa cinta itu ada atau tidak kerana kami masih berkawan, jadi enggan memperkatakan sesuatu yang boleh mengguriskan perasaan.

“Jika bercinta, bolehlah kata putus cinta sedangkan kami tidak sebenarnya. Apa yang boleh kami lakukan sekarang ialah meneruskan kehidupan,” ungkapnya.

Elfira juga menafikan wujudnya orang ketiga sehingga menyebabkan perasaannya terhadap Baim kini tidak lagi seperti mana dahulu.

“Apa yang pasti, kami masih tidak menemui sesuatu yang hilang dalam perhubungan ini, jadi lebih baik berkawan. Kami tidak tahu tahap apa yang boleh memastikan kami saling mencintai selepas ini.

“Masih berkawan juga sudah terlalu baik buat kami, jadi kami enggan bercinta hanya semata-mata mahu menjaga hati masing-masing.

“Pendek kata, tiada yang salah dalam hubungan ini, cuma pada masa yang sama tiada yang betul. Jadi, kami tidak boleh menerangkan definisi hubungan kami yang sebenar,” getusnya.


UNGKAP Elfira, dia lebih selesa memakai kasut tumit tinggi berbanding selipar.

Sisi lain dalam kehidupan

Cukup bercerita berhubung soal cinta. Bagi peminat Elfira, minatnya mengembara ke pulau-pulau serta bergambar selfie bukan lagi satu rahsia.

Justeru, ramai yang tertanya-tanya seandainya anak kedua daripada empat adik-beradik itu memiliki tabiat tersendiri untuk dikongsikan bersama.

“Saya ada tabiat terlena ketika dalam kereta. Ketika zaman sekolah, lima minit di dalam kereta pun boleh tertidur.

“Ia bukan berpunca daripada pendingin hawa memandangkan lagi kepanasan, lagi lena saya tidur,” ujarnya tertawa.

Lebih menarik, Elfira juga mengakui lebih selesa memakai kasut tumit tinggi berbanding selipar.

“Mungkin, ia disebabkan sudah terlalu biasa dan selesa. Saya boleh berlari jika memakai kasut tinggi, cuma jangan terkejut jika melihat tiba-tiba terjatuh ketika memakai selipar meskipun tiada sesiapa yang menolak saya.

“Saya sukar mengimbangi badan dan lebih mudah keletihan jika tidak memakai kasut tinggi,” jelasnya.

Selain mudah melenting dan tegas ketika bekerja, Elfira juga tidak suka memakan makanan berunsur tepung.

“Sebab itu, saya tidak begitu menjamah kuih raya. Tiada sebarang sebab khusus, nak cerita pun payah,” katanya.


ELFIRA menyifatkan ada sesuatu yang hilang dalam perhubungannya bersama Baim.

Terkilan di Aidilfitri

Dalam pada itu, Elfira mengakui sedikit terkilan ketika menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

Ini kerana, datuknya pergi mengadap Ilahi beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan tempoh hari.

“Saya agak terkilan kerana tidak sempat bertemu datuk sebaik membuat keputusan untuk berhijab sekitar Mac lepas,” ujarnya.

Ungkap Elfira, dia masih seperti dirinya sebelum ini biarpun telah berhijab sepenuhnya.

“Imej saja berbeza, namun personaliti masih sama. Tahun lepas, saya juga lebih mementingkan kerjaya ketika Aidilfitri, cuma tahun ini saya lebih bersyukur.

“Jadi, saya lebih menghargai perhubungan bersama keluarga dan rakan-rakan,” jelasnya.

Mengakui merindui persiapan menjelang raya ketika zaman kanak-kanak, Elfira juga menyifatkan dirinya sebagai pengumpul duit raya terbaik setiap kali tibanya Aidilfitri.

“Bayangkanlah saya pernah mengutip duit raya mencecah RM1,000, itu tidak termasuk yang diberikan keluarga dan saudara terdekat.

“Selain itu, saya juga memberikan duit raya kepada setiap jurutol yang bertugas setiap kali Aidilfitri,” ceritanya.

Elfira memberitahu, ketika ini dia mengehadkan seketika aktiviti lakonan bagi menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

“Saya bakal menamatkan pengajian dalam Diploma Seni Hiburan di Kolej Universiti KDU pada penghujung tahun ini.

“Selepas itu, saya hanya bercadang untuk mengambil kursus jangka pendek kerana kekangan masa,” katanya menutup bicara.

Bagi yang ingin mengetahui perkembangan Elfira bolehlah mengikutinya di laman Instagram di @elfiraloy; Facebook (@nurulelfiraloy) dan juga Twitter (@elfira_loy).

Previous Post Next Post