Penyanyi kelahiran Sabah, Jimmy Palikat memutuskan untuk menarik balik permohonannya untuk menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) selepas tindakannya menerima kritikan negatif dari peminat dan rakyat Sabah.
Keputusan itu dibuat kerana sensitiviti rakyat Sabah dan Sarawak yang mendakwanya menyokong pendirian pertubuhan itu dalam isu tertentu.
“Perkara itu tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat kita khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Pelantun lagu Anak Kampung berkata, permohonannya untuk menyertai pertubuhan Melayu itu bukan bersifat politik malah lebih kepada membina kerjaya seninya.
“Seperti yang tersebar dalam pelbagai media baru-baru ini, saya telah memohon menjadi ahli PERKASA. Niat saya adalah ikhlas, iaitu ingin mengembangkan kerjaya seni saya melalui jaringan seni yang lebih luas dengan menjadi ahli pertubuhan tersebut.
“Saya sama sekali tiada niat melibatkan diri dalam perjuangan politik pertubuhan tersebut kerana saya bukan seorang ahli politik,” kata Jimmy dalam kenyataannya.
Namun katanya, niatnya disalah tafsir rakyat Sabah khususnya yang sebelum ini lantang mengkritik PERKASA dengan mengatakan parti itu lebih bersifat perkauman.
Walaupun permohonannya tidak mendapat sokongan daripada masyarakat pribuminya, namun penyanyi berketurunan Kadazandusun itu tetap optimis dengan teguran yang dilemparkan itu.
“Saya menghargai semua teguran membina yang pasti membantu saya menjadi insan yang lebih baik. Saya juga tetap menjunjung tinggi seni budaya dan toleransi berbilang kaum serta agama yang menjadikan amalan masyarakat Sabah. Saya tidak pernah lupa diri atau asal-usul saya.” katanya.