Erra Fazira Beraya Dengan Aleesya Dan Terkejut Isu Rumah Tangga Awie



Pelakon Erra Fazira yang ditemui semasa majlis pelancaran filem Warna Cinta Impian di Hotel Le Meridien Hotel Kuala Lumpur telah memberitahu bahawa untuk raya kali ini dia akan beraya bersama-sama dengan puteri kesayangannya, Aleesya.

“Alhamdulillah pada tahun ini giliran saya bersama Aleesha untuk beraya bersama. Lagipun kampung saya tidaklah terlalu jauh hanya 45 minit sahaja dari KL,” ujarnya.

Tambahnya lagi, raya pada tahun ini disambut secara bersederhana sahaja dan tidak terlampau mewah. Dia turut memberitahu kepulangannya itu juga untuk bersama-sama ibu tercinta di kampung halaman yang kini kurang sihat.

“Raya pada tahun ini sangat sederhana dan saya hanya menyediakan beberapa helai pakaian untuk Aleesha dan beberapa lagi yang lain untuk keluarga saya. Setakat ini anak saya sihat dan semakin membesar. Kepulangan ini juga untuk menjenguk ibu saya yang kurang sihat,” katanya.

Sementara itu, Erra Fazira juga agak sedikit terkejut apabila timbulnya isu rumah tangga bekas kekasihnya, yang kini semakin hangat dilaporkan di media-media massa tempatan. Baginya Awie mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengendalikan dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya kini.

“Mula-mula saya agak terkejut apabila rumah tangganya dilaporkan sedang bergolak. Saya tahu pun melalui akhbar-akhbar serta blog-blog yang melaporkannya. Tapi saya tahu Awie ada caranya yang tersendiri untuk mengendalikan masalahnya itu, lagipun dia mempunyai banyak pengalaman dan saya sebagai sahabatnya mendoakan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan berharap mereka berdua berbaik semual,” katanya.

Tiada Masalah Bergandingan Dengan Awie, Imbau Kenangan

Dalam pada itu, filem Warna Cinta Impian yang bakal menjalankan penggambaran di Rajasthan India, Brisbane dan di sekitar Kuala Lumpur akan membabitkan pelakon-pelakon dan nama-nama besar seperti Awie, Erra Fazira, Azlee Khairi, Nelydia Senrose, Syiqin Kamal dan pelakon Singapura Erwin Shah Dawson.

Erra yang akan kembali bergandingan bersama dengan Awie di layar perak bakal mengubati kerinduan peminat-peminat di zaman kegemilangan mereka sekitar 90an. Dia yang mengambil sikap professional akan memberikan satu sentuhan yang berbeza dalam filem ‘Warna Cinta Impian’ dan baginya pengalaman yang lepas biarlah berlalu dan berharap tidak timbulnya gosip atau spekulasi mengenai penglibatannya kali ini.

“Saya rasa tiada masalah untuk bergandingan bersama Awie kerana sebelum ini saya sudah berlakon teater bersamanya di Istana Budaya dan kami sama-sama profesional dalam kerjaya ini. Buat peminat-peminat kami sekiranya anda ingin mengimbau kembali saat-saat saya seperti dahulu tidak ada masalah sekiranya boleh membantu dari segi penjualan tiket tetapi janganlah timbulkan gosip pula,” ujarnya sambil berseloroh.




Previous Post Next Post