Nana bukan jaguh kampung sebarangan


Hadiah Kemenangan - Bercakap tentang perancangan untuk membelanjakan wang hadiah kemenangannya, Nana cuma sempat terfikir untuk melengkapkan isi rumah dan membesarkan butik perniagaannya, Butik Paling Comel di Busana@MARA, Kuala Lumpur.

DIALOG Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di dalam filem Tiga Abdul yang berbunyi, ‘Jangan pandang saya seperti diri ini tiada mata,’ mungkin molek untuk menggambarkan kebanggaan milik anak jati Felda Sendayan, Negeri Sembilan, Siti Nordiana Alias sewaktu diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2), di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.

Wanita itu cukup tenang saat ledakan bunga api dan gemuruh teriakan bergema memanggil namanya. Pada wajahnya hanya terukir sebuah senyuman manis dan santunnya yang masih terjaga, malah tiada riak terkejut, terharu ataupun tangisan pura-pura ditangkap mata hadirin.

Terdetik juga rasa hairan, bagaimana penyanyi yang mesra disapa Nana itu kelihatan cukup terkawal dalam situasi khalayak yang terloncat kegirangan. Sedangkan ketika itu, hadiah ratusan ribu sah menjadi miliknya, bukan hak individu yang ghairah bertepuk tangan bangga kerana dilihat sebagai penyokong setia Nana.

Situasi sebegitu menimbulkan satu persoalan. Adakah kejayaan tersebut sudah dijangka oleh pelantun lagu Cinta Bukan Sandaran itu, atau Nana sebenarnya masih terapung di awang-awangan, masih berkira-kira apa benar realitinya dia sudah menang salah sebuah pertarungan yang besar dalam kariernya.


“Orang nampak saya okey dan tenang sahaja, tetapi dalam hati ini, sudah bermacam-macam zikir dibaca agar jangan terlalu nampak debaran di muka.

“Kata orang, saat impian jadi kenyataan, ia menjadi satu momen yang kaku kerana masa seolah-olah terhenti. Saya cuba melafazkan kesyukuran berkali-kali dalam hati supaya tidak kelihatan terlampau teruja dan gembira,” katanya saat berbicara tentang detik kemenangan dalam sidang akhbar yang berlangsung sejurus pentas GV2 ditutup secara rasmi.

Nana menewaskan lima lagi finalis pada malam berkenaan iaitu Farahdhiya yang pulang dengan hadiah naib johan, Ezad Lazim (tempat ketiga), Nassier Wahab (keempat), manakala Acong dan Haiza masing-masing di tangga kelima dan keenam.

Secara keseluruhannya, persembahan finalis GV2 pada malam tersebut bukanlah yang terbaik pernah disaksikan. Di sana-sini, ada sahaja kepincangan dilakukan mereka sehingga ditegur pihak juri. Mungkin aura gemuruh pentas akhir bercampur pula tekanan untuk memberikan yang terbaik mempengaruhi para peserta. Situasi itu diakui oleh juri tetap dan juga Ketua Juri GV2, Datuk Ramli MS.

“Perbezaan markah antara Nana dan Farahdhiya hanya 0.4 peratus, itu membuktikan proses pemilihan juara bukan satu tugas yang mudah.

“Seperti yang selalu saya katakan sebelum ini, penyanyi yang melakukan kesilapan paling minimum akan berjaya dan pada malam ini, Nana adalah peserta yang paling kemas daripada segi nyanyian dan persembahannya,” jelas Ramli lagi.

Pada pertandingan akhir, Nana telah membawakan dua buah lagu iaitu Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain dan duet bersama Acong menerusi lagu yang dipopularkan oleh Taufik Batisah, Awak Kat Mana.

Nana membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Madrid, Sepanyol bernilai RM50,000 dan peluang merakamkan single baharu tajaan sepenuhnya oleh Astro. Selain itu, dia turut mendapat wang tunai tambahan RM5,000 bagi kategori Persembahan Terbaik.

Farahdhiya selaku naib johan pula mendapat wang tunai berjumlah RM50,000, pakej percutian ke Beijing, China bernilai RM30,000, diikuti Ezad Lazim di tempat ketiga, memenangi wang tunai berjumlah RM30,000 dan pakej percutian ke Jogjakarta, Indonesia bernilai RM10,000.

Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing pulang dengan wang tunai sebanyak RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 serta pakej percutian ke Lombok, Indonesia yang bernilai RM6,000. Semua peserta turut menerima trofi penyertaan masing-masing.

Bangga


TOP 3 - Unggul sejak dari awal konsert mingguan, Nana (tengah), Farahdhiya (kiri) dan Ezad Lazim (kanan) muncul sebagai finalis tiga terbaik pada malam kemuncak Gegar Vaganza 2, Ahad lalu,

Bermula dengan gelaran peserta bukan pilihan ketika barisan calon GV2 dihebahkan, Nana tidak mudah patah semangat dan mengambil inisiatif untuk bermula semula dari bawah walaupun secara logiknya, dia mempunyai pengalaman 16 tahun bergelar penyanyi.

Secara terbuka Nana mengakui, dia memang mengikuti kelas vokal bersama guru vokal terkenal, Cikgu Syafi sepanjang pertandingan GV2 dan menerima banyak ilmu berkenaan teknik nyanyian yang sebelum ini tidak pernah dipraktikkan dengan betul.

Wanita berusia 31 tahun itu cukup sedar, untuk pertandingan GV2, populariti bukan kekuatan baginya. Justeru, dia perlu memastikan bakat dan vokalnya lebih menonjol agar khalayak membuka mata terhadap nyanyiannya.

Saat ditanya tentang tekad bersungguh-sungguh mahu membuktikan kemampuan nyanyiannya, Nana kelihatan sedikit termangu. Dia terdiam seketika sebelum menyambung bicara.

Biarpun raut wajahnya jelas menerbitkan segaris lega, namun terselit jua sekilas kecewa sewaktu memikirkan jawapan yang hendak dilontarkan.

“Entahlah, saya tidak tahu di mana silapnya apabila perjalanan karier muzik saya yang tiba-tiba terbantut begitu sahaja. Lagu saya tidak dimainkan di stesen radio, malah sesetengah penganjur dengan mudah menolak bulat-bulat nama saya saat diusulkan untuk membuat persembahan.

“Saya hairan, adakah nyanyian saya terlalu teruk ataupun kerana stail saya dicop sebagai penyanyi kampung menjadikan saya tidak layak berada dalam kelompok artis moden. Namun, sekarang saya berani mengatakan, saya bangga menjadi ‘artis kampung’ kerana akhirnya mata-mata orang yang pernah memandang rendah terhadap bakat saya terlah terbuka seluas-luasnya,” luahnya sambil tersenyum kelat.

Bukan itu sahaja, Nana berkata, dia tidak akan berhenti membawa melodi atau irama mendayu-dayu kerana genre sebegitu sudah sebati dengan dirinya. Dia juga pernah melewati fasa kemasyhuran dek kerana lagu-lagu sebegitu.

Mungkin sedikit perubahan akan dipertimbangkan agar muziknya sesuai dengan cita rasa generasi muda sekarang, namun Nana tetap akan mengekalkan identiti asalnya sebagai penyanyi ‘Leman’ atau kampung seperti yang dikatakan oleh Ramli MS.

Topik perbualan kemudian teralih kepada perancangan yang bermain di fikiran ibu tunggal itu tentang bagaimana mahu memastikan karier seninya bertahan selepas bergelar juara GV2.

Kelangsungan kerjaya


JURI - Barisan juri malam final Gegar Vaganza 2, dari kiri, Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Rosyam Nor.

Apa gunanya dia beria-ria bertarung di pentas GV2, seandainya sebaik sahaja program itu tamat, riwayat seni Nana turut mati bersama.

Sambil menghela nafas panjang, Nana menjelaskan, pada zaman populariti dahulu, dia kurang berinteraksi dengan peminat kerana platform media sosial belum wujud.

Jadi sekarang, Nana mahu merapatkan kembali hubungan dengan peminat sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka selama ini.

Tambahnya lagi, GV2 banyak membuka ruang dan kesempatan membina semula jenama Siti Nordiana dalam pasaran muzik tanah air. Kali ini, dia tidak berniat untuk kembali diperkotak-katikkan.

Dia tidak mahu lagi kehadirannya dipandang remeh atau dianggap sebagai penyendal dalam industri. Kini, Nana mahu kembali serius menyanyi dan muzik adalah punca rezekinya.

“Kemenangan merupakan kelahiran semula saya sebagai penyanyi. Saya sudah berjaya menjuarai GV2 dan mengembalikan keyakinan khalayak terhadap bakat saya.

“Menyanyi adalah satu-satunya perkara yang saya mahir, yang saya sudah lakukan sejak berusia 15 tahun lagi. Saya ikhlas dalam melakukan pekerjaan ini dan harap tiada lagi pihak memandang enteng kemampuan yang ada pada saya,” tutupnya seraya tersenyum.

Previous Post Next Post